Halaman

12 February 2014

Festival Tahun Melawat Malaysia dan Le Tour de Langkawi



Sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 dan Le Tour de Langkawi (LTDL) 2014, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu akan menganjurkan satu festival selama lima hari bermula 4 Mac ini.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Sabri Zakaria berkata karnival itu yang dianjurkan dengan kerjasama Warisan Bistari Aman Sdn Bhd, akan diadakan di Dataran Syahbandar di Kuala Terengganu.

"Kita adakan Festival TMM 2014 Le Tour de Langkawi bagi menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke negeri ini untuk memperkenalkan kebudayaan dan aktiviti pelancongan.

"Pelbagai aktiviti dirancang termasuk demonstrasi Kebudayaan dan Warisan Terengganu yang akan memperkenalkan permainan seperti gasing, cara membuat wau dan batik, persembahan rodat dan sepak raga," katanya dalam satu kenyataan kepada media sempena pengumuman Acara dan Penaja Festival TMM 2014 Le Tour de Langkawi di Hotel Permai, hari ini.

Beliau berkata pelbagai gerai jualan, pameran dan pertandingan permainan mini akan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 11 malam.

Festival itu menyasarkan kunjungan kira-kira 6,000 orang dari dalam dan luar negara.

Selain itu, penganjur juga juga turut menyediakan pelbagai booth permainan mini untuk para pengunjung seperti Cuba Tekong (Takraw), Servis Pendek (Batminton), Shoot Me Down (Menembak), Hole in One (Golf) dan banyak lagi.

 Pelbagai hadiah menarik ditawarkan oleh pihak penaja kepada pengunjung bertuah. Antara penaja yang memberi sumbangan ialah Tourism Malaysia, Eynasha Beauty & Healtycare, Hotel Permai, Nestle (M) Sdn. Bhd., Rudesign dan Impian Event.