Halaman

05 February 2014

‘Gelanggang Tuk Wali’ bakal gamatkan Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu dengan kerjasama Pertubuhan Kesenian Sri Beringin Kuala Lumpur dan Selangor akan mengadakan pementasan teater muzikal ‘Gelanggang Tuk Wali’ di Auditorium Kompleks jabatan itu pada 26, 27, 28 Februari dan 1Mac ini.
Pengarah JKKN Terengganu, Encik Zaifri Husin berkata, tujuan pementasan teater yang bakal menggamatkan panggung itu antara lain menarik minat generasi muda menghargai dan menghayati seni pentas selain menggalakkan masyarakat dan peminat seni di Terengganu meyokong pementasan teater.

Menurut beliau, teater muzikal ‘Gelanggang Tuk Wali’ karya Ismail Hassan pernah dipentaskan di Istana Budaya dan mendapat sambutan hebat.

 “Pementasan teater di Terengganu ini adalah sebahagian daripada siri jelajah oleh Pertubuhan Kesenian Sri Beringin Kuala Lumpur dan Selangor yang bergiat aktif di Kuala lumpur.

 “Ia diselaraskan oleh orang muda dan diketuai oleh saudara Joosaidy Johari yang juga merupakan pengarah teater ini.

 “Jadi, atas permintaan ramai ‘Gelanggang Tuk wali’ dibawa ke Terengganu untuk memberi peluang kepada komuniti di negeri ini menyaksikan sendiri kehebatan teater yang diterajui oleh anak-anak muda berbakat besar,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT) semalam.

Sementara itu, Pengarah Teater ‘Gelanggang Tuk Wali’ Joosaidy Johari berkata, pementasan teater berkenaan bermula jam 2.30 petang dan 9 malam dengan tiket serendah RM10, RM20, RM30 dan RM50.

Joosaidy berkata, teater tersebut berkisar tentang kekentalan semangat juang dan jati diri seorang guru silat bernama Tuk Wali dalam mempertahankan warisan budaya bangsanya yang pada suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan generasi lama.

 “Sarat dengan mesej di sebalik dialog yang banyak menjurus kepada adat, budaya bangsa dan agama, teater ‘Gelanggang Tuk Wali’ turut menyelitkan falsafah yang tersirat melalui dialog yang humor dan bersahaja dengan bahasa yang mudah difahami,” katanya.

 

No comments: