Halaman

01 February 2014

Internet percuma di Pejabat Penerangan Daerah Setiu.

Periksa...seorang kakitangan PPDS memeriksa sebuah komputer di PMR Setiu.
Oleh: Aminudin Ismail. 

PENDUDUK di sekitar Bandar Permaisuri, Setiu diharapkan dapat memanfaatkan Pusat Maklumat Rakyat (PMR) di Pejabat Penerangan Daerah Setiu (PPDS), Bukit Pelong, kerana pelbagai kemudahan terdapat di situ.

Pegawai Penenerangan Daerah, Noriham Ahmad, berkata pusat maklumat yang dibuka pada setiap hari bekerja itu memiliki beberapa buah komputer yang dilengkapi internet.

"Sambutan penduduk agak kurang kerana mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat kemudahan internet percuma di sini ataupun kebanyakannya sudah mempunyai internet sendiri di rumah atau di telefon.

Noriham...banyak kemudahan.
"Ada juga pelajar Sekolah Menengah Tengku Ibrahim (SMTI) datang mengunakan internet di sini untuk mencari maklumat untuk pembelajaran," katanya mengenai pusat itu yang terletak di atas sebuah bukit bersebelahan Bomba Setiu itu.

Noriham berkata, selain kemudahan internet percuma, PMR itu juga mempunyai akhbar bahan bercetak, bahan maklumat audio visual dan pemudahcara pencarian maklumat.

PMR diwujudkan di semua Pejabat Penerangan Daerah di negara beberapa tahun dahulu bagi memudahkan orang ramai mencari pelbagai maklumat tanpa dikenakan sebarang bayaran dan mendapat bantuan daripada pegawai bertugas.