Halaman

06 February 2014

Irfan belot, burukkan keadaan


Pengurusan T-Team kesal dengan kenyataan pemain pertahanannya, Ifran Abd Ghani yang jelas menyebelahi pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA di Stadium Hassan Yunos, Larkin, Johor, Sabtu lalu.

Ketua Pegawai Operasi T-Team, Syahrizan Mohd Zain berkata tindakan pemain yang berasal dari Johor itu hanya memburukkan keadaan apatah lagi ia dibuat dengan memihak pasukan lawan.


Katanya, kenyataan Ifran itu menimbulkan tanda tanya kerana pemain itu tidak diturunkan dalam kesebelasan utama pada perlawanan hari berkenaan. Irfan mendakwa tidak melihat sebarang kecederaan dialami pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasaan Stefano Impagliazzo yang dikatakan dikasari pengurusan tertinggi JDT.

"Sebagai pemain simpanan, mereka kebiasaannya memanaskan badan di padang ketika kesebelasan utama menuju ke bilik persalinan pada waktu rehat separuh masa," kata Syahrizan kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut beliau, pemain yang berusia 25 tahun itu didapati tidak memaklumkan tindakannya membuat kenyataan itu kepada pengurusan T-Team.

Syahrizan berkata perkara terbabit akan dibincangkan dengan pengurusan tertinggi T-Team untuk tindakan susulan.

Semalam, Irfan telah membuat satu kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor berhubung kejadian Sabtu lalu itu tanpa pengetahuan pihak pengurusan T-Team.

Pada perlawanan tersebut, T-Team enggan meneruskan saingan babak kedua atas faktor keselamatan selepas mendakwa Rodrigues dan Impagliazzo dikasari pihak pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan. Pada ketika itu, JDT mendahului 2-1.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan mengadakan mesyuarakat khas berhubung insiden tersebut, Khamis.


No comments: