Halaman

19 February 2014

JBPM terima 2,685 panggilan kebakaran

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 2,685 panggilan membabitkan kebakaran hutan, belukar dan lalang di seluruh negara dalam tempoh 16 hari sehingga semalam.

 Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan) JBPM Datuk Amer Yusof berkata Selangor mencatatkan bilangan kes kebakaran hutan tertinggi iaitu 71 kes diikuti Perak (62 kes) dan Johor (55 kes).

 "Manakala di Terengganu pula sebanyak 20 kes kebakaran melibatkan hutan paya gambut telah direkodkan namun kesemuanya dalam keadaan terkawal setakat ini," katanya

 Beliau berkata JBPM mempunyai kekuatan yang cukup untuk digerakkan bagi mengawal kebakaran hutan sepanjang musim kemarau ini.

Pengarah JBPM Terengganu Md Salleh Sarbini yang turut hadir pada majlis itu berkata kira-kira 10 kawasan paya gambut di seluruh negeri dikesan berisiko berlaku kebakaran berdasarkan faktor pernah berlaku kebakaran pada musim kemarau sebelum ini.

 Antara kawasan itu ialah di Lembah Bidong, Setiu, Besut, Dungun dan Marang serta beberapa lagi kawasan yang lain, katanya.

 Mengenai kebakaran kawasan paya gambut di Kampung Tok Kah di Dungun, beliau berkata kebakaran membabitkan kawasan lebih 400 hektar itu dijangka dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa satu hingga dua minggu lagi.