Halaman

12 February 2014

JKKN Terengganu sambut baik bengkel keselamatan untuk penggiat seni

Oleh: Noraini Jusoh

Encik Zaifri Husin
Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Terengganu menjadi tuan rumah kepada Bengkel Pengenalan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Di Pentas Seni Persembahan yang dianjurkan Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM), hari ini.

Peserta terpilih terdiri daripada jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan kerja-kerja belakang pentas dan termasuk penggiat seni berkumpul di kompleks itu bagi mengikuti bengkel yang dikendalikan Pegawai Kebudayaan Kanan, Pusat Pengajian Seni USM, Encik Mohd Yusof Bakar.

Pengarah JKKN Terengganu, Encik Zaifri Husin berkata, kerjasama dalam mengadakan program sedemikian diharap akan berterusan kerana banyak memberi pengetahuan dan pendedahan kepada mereka yang selalu terlibat dengan pentas seni persembahan.

“Bengkel ini banyak memberi pendedahan mengenai bahaya dan risiko sekiranya mereka yang terlibat dengan sesuatu persembahan pentas termasuk pekerja belakang tabir, pelakon, juru mekap dan sebagainya jika tidak peka terhadap keselamatan diri masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Teganukita ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penutup bengkel berkenaan di Kompleks JKKN Terengganu.

Menurut En Zaifri, bengkel yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran peserta mengenai pentingnya keselamatan dan kesihatan di tempat kerja itu diharap memberi manfaat kepada peserta seterusnya dikongsi dengan mereka di luar sana.

“Melalui bengkel ini, peserta turut ditunjukkan demostrasi bagaimana cara-cara mengunakan peralatan keselamatan yang betul bagi melakukan kerja-kerja pembinaan pentas dan juga dibawa melawat auditorium dan diberi penerangan apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di panggung;” ujarnya.

Katanya, beliau menyambut baik usaha mana-mana pihak menganjurkan program seumpama itu dan bersedia menjalin kerjasama dalam membantu pihak yang berkenaan
memberi maklumat dan info-info mengenai aspek keselamatan dan kesihatan khususnya kepada penggiat seni.

 

No comments: