Halaman

28 February 2014

Kampung Yak Yah, gamit pelancong

Oleh: Suriati Ali 

Kampung Yak Yah yang terletak di sebelah Taman Rekreasi Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman, menawarkan produk pelancongan baru kepada pelancong , iaitu kunang-kunang atau kelip-kelip.

 Kawasan sepanjang sungai kampung itu yang merupakan habitat kunang-kunang terbesar di Malaysia, mempamerkan panorama menakjubkan pada waktu malam dengan kehadiran puluhan ribu kunang-kunang. Sungai Yak Yah kini menjadi tumpuan pelancong, khususnya di kalangan peminat kunang-kunang atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni.


Mereka yang berpeluang menyusuri Sungai Yak Yah di kawasan sepanjang 13 kilometer, pasti akan terpukau dan teruja dengan keindahan kerlipan cahaya dari haiwan kecil yang mengasyikkan itu.

 Sebaik saja bot dinaiki bergerak, pelancong akan terpesona apabila melihat begitu banyak kelip-kelip mengerumuni pokok-pokok Berembang, Putat dan Bebaru yang tumbuh subur sepanjang perjalanan mereka menyusuri sungai tersebut.

 Dengan menaiki River Cruise, pastinya akan memberi pengalaman baru yang amat berharga kepada pengunjung, khususnya mereka yang gemar menikmati anugerah alam semulajadi.

 Cuba bayangkan, puluhan ribu cahaya kunang-kunang menghiasi pokok-pokok di sepanjang sungai tersebut seolah-olah terdapat pesta lampu yang bergermerlapan di situ.

 Kini Kampung Yak Yah bukan saja dilawati pelancong dari negeri-negeri lain di Malaysia, tetapi ia turut menjadi tumpuan pelancong dari Jepun, Singapura, China, Taiwan dan Hong Kong.


 Beberapa pelancong dari Belanda melawat kawasan itu apabila mendapat maklumat mengenai keunikan aktiviti melihat kunang-kunang di sepanjang Sungai Yak Yah dari agen-agen pelancongan yang turut membantu mempromosi aktiviti berkenaan.

 Terdapat empat spesies kunang-kunang di Sungai Yak Yah di mana haiwan kecil yang unik itu dikatakan membiak dengan begitu banyak dari bulan Julai hingga Oktober pada setiap tahun.

 

No comments: