Halaman

09 February 2014

Kecewa Dengan FAM, Ahmad Mahu Pemain T-Team Sumpah al-Quran Demi Kebenaran

Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Said, yang nyata kecewa dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang tidak berpihak kepada T-Team berhubung insiden perlawanan pusingan kedua Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) minggu lalu.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM kelmarin memberi kemenangan 3-0 kepada JDT, sekali gus melayakkan pasukan Harimau Selatan itu ke suku akhir selepas T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru.

Berikut adalah kenyataan tegas beliau ketika ditemui pemberita semasa melawat Kampung Pelandan, Hulu Terengganu, Jumaat, 7 Februari 2014.



 "Saya amat kecewa dengan keputusan FAM (beri kemenangan kepada JDT).

"FAM kena profesional, jangan double standard.

Kalau beginilah cara, saya percaya bola sepak Malaysia tak akan ke mana.

"Saya akan panggil pasukan T-Team dalam masa terdekat ini.

Kita akan dapatkan penjelasan sebenar dan saya akan minta para pemain dan pengurusan yang saksikan insiden itu agar bersumpah al-Quran di depan saya, termasuklah Muhd. Irfan Ghani."

"Apakah dia (Muhd. Irfan) lihat sendiri apa yang berlaku, saya difahamkan dia pemain simpanan dan sudah tentu kalau ikut proses biasa bila rehat, dia tak masuk dalam terowong kerana kena 'warm up' di padang.

"Sebagai orang Islam saya ingin lihat perkara ini benar, saya juga minta JDT (pemain dan pengurusan) bersumpah al-Quran kerana kita orang Islam.

"Saya difahamkan ia (keputusan FAM) berasaskan laporan dan komisioner perlawanan, mungkin mereka tak terlibat dalam terowong dan mereka tak tahu apa cerita sebenarnya.

Sepatutnya perlu diteliti dengan mendalam oleh pihak jawatankuasa FAM.

"Takkanlah Terengganu bodoh sangat, suka-suka nak tarik diri tanpa alasan tertentu, saya dimaklumkan mereka diiring keluar oleh polis dengan bas hingga ke Mersing.

Jadi, sudah tentulah melibatkan soal keselamatan, sepatutnya ini diambil kira FAM.

 "Dulu juga pernah berlaku apabila penonton terlalu ramai ketika menyaksikan perlawanan antara JDT dengan Pahang, kemudiannya diadakan perlawanan ulangan, kenapa boleh pula.

"Kalau ikut perasaan saya, lebih baik kita tarik diri saja (tidak sertai Liga Malaysia), tapi bila fikirkan peminat dan sukan bola sepak Malaysia, kita tidaklah buat begitu," jelasnya.

Beliau seterusnya menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan pengurusan T-Team sama ada perlu mengemukakan surat bantahan atau sebaliknya berhubung keputusan FAM itu.