Halaman

15 February 2014

KEJADIAN BANJIR JADIKAN PENGAJARAN SUPAYA TINGKATKAN KESYUKURAN - MB

Oleh: Ruslan A.Rahman



Kejadian banjir besar di Terengganu baru-baru ini, termasuk Kemaman sewajarnya memberi keinsafan kepada semua supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan Allah dan jangan sekali-kali menjadi orang yang kufur nikmat, demikian tegas Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said.

Beliau menjelaskan bahawa pihak pembangkang seringkali mengajar masyarakat supaya tidak bersyukur dengan menentang segala apa yang dibuat oleh pihak kerajaan sedangkan keseluruhan yang dilakukan kerajaan adalah untuk kebaikan, bahkan turut dinikmati oleh pemimpin dan penyokong pembangkang, tetapi pada masa yang sama diajar menentang dan itulah tandanya orang yang tidak bersyukur.

“Apabila kita tidak bersyukur azab Tuhan amatlah pedih, termasuklah azab banjir besar yang menimpa dan sebagainya lagi,” kata Menteri Besar sambil menjelaskan bahawa ucapannya itu amatlah jelas tetapi seringkali diputarbelit oleh pembangkang dengan pelbagai tuduhan dan kata-kata kesat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan Banjir Dewan Undangan Negeri (Dun) Kijal di Padang Kubu, Kemaman di sini hari ini 15 Februari.



Seramai 83 keluarga yang terlibat banjir buruk menerima bantuan membabitkan man gsa di Padang Kubu dan juga kampung sekitar iaitu Sungai Mas dan Lubuk Lesung.

 Isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Norliza Mahmud hadir bersama menyertai majlis tersebut. Hadir sama di majlis itu ialah Pengurus Besar Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah yang turut menyampaikan bantuan berupa barangan dan baucer.



Ahli Dewan Negara, Senator Hajah Rohani Abdullah ,Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Haji Mustaffar Khalid, Pengarah Agensi Pemaju Masyarakat Negeri (APMT) Haji Roshali Taha dan pegawai-pegawai TDM Plantation Bhd turut hadir.

Menteri Besar berkata, di Terengganu dalam sejarah banjir besar ialah pada tahun 1922 yang disebut “bah merah” tetapi yang pernah dilalui ialah banjir tahun 1970 dan 1983.

Katanya, jumlah hujan terlebat luar biasa baru-baru ini menyebabkan banjir besar di Kemaman iaitu 777 mililiter sehari dan 1661 mililiter dalam masa tiga hari.

Berbanding kadar hujan setahun di Terengganu sebelum ini setahun ialah 3,900 mililiter, tetapi di Kemaman baru-baru ini 1 661 mililiter dalam masa tiga hari sahaja, yang sudah tentu membawa banjir yang amat besar.

Sementara itu dalam hal lain Dato’ Seri Haji Ahmad memberitahu seramai 200 orang saintis Antlantik dari seluruh dunia dijangka datang ke Terengganu pada tahun 2016 sempena satu seminar saintis Antartika peringkat antarabangsa di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya oleh media tentang kebakaran hutan di Dungun, beliau menjelaskan ia perlu kerjasama orang ramai supaya mengelak dari menjadi punca kebakaran seperti api puting rokok dan sebagainya.

Bagaimanapun katanya, terserah kepada Jabatan Alam Sekitar yang mempunyai akta tertentu yang berkaitan manakala pihak bomba sentiasa berusaha memadamkan kebakaran itu.

Sementara itu Wan Mohd Hasnan memberitahu Petronas Wilayah Timur memperuntukkan RM5 juta untuk bantuan banjir di Pantai Timur, dari jumlah itu RM3.4 juta diperuntukkan kepada mangsa banjir di Kemaman.

Petronas memberi bantuan kepada setiap mangsa terbabit dua set selimut jenama Toto dan kad baucer bernilai RM150 untuk membeli barangan di kedai di stesen minyak Petronas.