Halaman

05 February 2014

Kepulangan MB dari Antartika disambut meriah

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Hampir dua minggu mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Antartika bermula 18 Januari hingga 2 Februari lalu, kepulangan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said disambut meriah oleh barisan kepimpinan tertinggi kerajaan negeri serta rakyat Terengganu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) malam tadi.

Rakyat menyambut kepulangan Menteru Besar dengan meriah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, selepas hampir dua minggu ke Antartika.
Dato’ Seri Ahmad berkata, lawatan itu bersifat eksplorasi saintifik yang merupakan jemputan daripada Kerajaan Chile menerusi Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).





“Kerajaan Chile yang merupakan salah sebuah negara mempunyai stesen penyelidikan paling banyak iaitu 9 buah memberi sokongan penuh terhadap Malaysia dalam bidang penyelidikan.

“Malah, menawarkan samada menggunakan kemudahan penyelidikan atau bekerjasama dengan mereka dan diberi pilihan untuk kerajaan Malaysia membina satu stesen sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurut beliau sehingga kini, YPASM telah menghantar seramai tujuh orang sainstis untuk membuat kajian di Antartika.

“Seorang saintis dari UMT masih lagi berada Antartika membuat kajian mengenai kehidupan marin di pusat penyelidikan Antartika kepunyaan Korea,” ujarnya.

Katanya, Terengganu terlibat secara langsung dalam sumbangan kepada petugas YPASM dan salah satu tujuan beliau ke Antartika adalah untuk melihat sendiri kehidupan sainstis yang menjalankan kajian di sana.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia menghantar anak-anak Terengganu dari mana-mana universiti untuk membuat kajian di Antartika pada masa hadapan dan mengharapkan rakyat negeri ini menyambut baik tawaran yang diberikan.

Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai insiden pasukan bolasepak T-Team dan JDT di Johor baru-baru ini, beliau nyata kesal dengan apa yang berlaku.

“Saya merasa kesal dengan apa yang berlaku dan dimaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan saya serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut.

“ Kita juga mengharapkan FAM adil dalam membuat sebarang keputusan selepas siasatan dijalankan,” ujarnya.

 

No comments: