Halaman

24 February 2014

Kontrak perkhidmatan 255 orang EIO, TSO disambung

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri meneruskan penyambungan kontrak perkhidmatan kepada 255 Pegawai Teknologi Maklumat (EIO) dan Juruteknik Komputer (TSO) bagi mengurus dan mengawal penggunaan e-book di sekolah seluruh Terengganu.

YB Ghazali Taib menyampaikan borang penyambungan kontrak perkhidmatan kepada EIO dan TSO dari seluruh Terengganu.
 Seramai 211 orang EIO berkenaan adalah dari Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu, turut ditempatkan di pejabat pendidikan daerah dan jabatan kerajaan, sementara 44 orang TSO pula ditugaskan di pusat bestari daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata kerajaan bersetuju menyambung kontrak sebahagian besar EIO dan TSO itu selepas mereka menunjukkan prestasi dan komitmen yang baik terhadap tugas sepanjang 2013.



“Ada segelintir di kalangan mereka bermasalah dan tidak berdisiplin.Bagaimanapun dari semasa ke semasa kita akan terus memberikan peringatan supaya mereka memberi tumpuan dan komitmen pada tugas berkenaan.

“Dalam pada itu, sejak diperkenalkan pada 2009, hanya empat orang sahaja tidak disambung kontrak berikutan berdepan masalah disiplin,” katanya di Majlis Penyerahan Kontrak Perkhidmatan EIO dan TSO Tahun 2014, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin dan Pengarah Eksekutif Tesdec Sdn Bhd, Haji Rozali Salleh.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Tesdec melantik 561 orang EIO dan TSO di tempatkan di seluruh Terengganu sejak enam tahun lalu.

Katanya, pembayaran gaji EIO dan TSO tertakluk kepada skim perkhidmatan secara kontrak oleh kerajaan negeri, iaitu EIO memperolehi gaji pokok berjumlah RM1,700 sebulan, manakala TSO RM1,200 sebulan.

“Jumlah ini bergantung kepada kelulusan, memandangkan EIO ditawarkan kepada pemegang iazah, manakala TSO kepada mereka yang memiliki diploma atau sijil yang berkaitan dengan komputer.

“Sehingga kini, kita melihat pencapaian mereka di sekolah-sekolah mencapai tahap yang dikehendaki, ada sangat bagus dan sederhana,” katanya.

Tambah beliau, sejak 2009, kerajaan negeri sudah membelanjakan RM117 juta bagi menyediakan 129, 889 unit e-Book bagi memastikan anak Terengganu menguasai penggunaan Teknologi Komunikasi dan Maklumat (ICT) sejak di bangku sekolah rendah lagi.