Halaman

18 February 2014

Lapan pasukan rebut Piala Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri 2014

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan Terengganu terus memberi suntikan baharu bagi memperkasakan pembangunan bola sepak negeri seperti era zaman kegemilangan bola sepak yang lalu, apabila bakal menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 20 Tahun bagi merebut Piala YB Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber manusia negeri.

Kejohanan anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan bermula 7 Mac hingga 23 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat berkata, MSNT dipertanggungjawabkan sebagai urusetia bagi kejohanan yang akan melibatkan satu pasukan dari setiap daerah kecuali Kuala Terengganu yang menghantar dua pasukan, iaitu Kuala Terengganu Utara dan Selatan.

“ Kejohanan bawah 20 tahun ini yang melibatkan lapan pasukan ini bertujuan mencungkil bakat baru bagi diketengahkan untuk mewakili pasukan negeri atau T-Team.

“Malah, program ini diharap menjadi pelengkap kepada struktur program pembangunan bola sepak negeri yang sudah kerajaan negeri laksanakan,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.

Menurut beliau, kejohanan kali ini mendapat sentuhan baharu dengan kerjasama daripada pegawai daerah sebagai pihak yang turut penting dalam proses pembangunan bola sepak negeri.

Tambah beliau, pada tahun ini sahaja, seramai 13 anak Terengganu dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mewakili pasukan kebangsaan, masing-masing enam orang mewakili Harimau C (bawah 19 tahun), enam orang mewakili Harimau B (bawah 21 ) dan seorang Harimau A (bawah 23).

“Ini terbukti menerusi kejayaan program pembangunan yang kita laksanakan selama ini. Daripada kesemua yang berjaya diserapkan di bawah pasukan Malaysia, sebahagian mereka sudah bersama pasukan masing-masing, manakala selebihnya akan dipanggil pada bila-bila masa bagi menjalani latihan,” katanya.

Oleh yang demikian, beliau berharap kejohanan anjuran kerajaan negeri bersama PBSNT itu mampu melahirkan lebih ramai anak Terengganu yang dapat menyarung jersi kebangsaan dalam sukan bola sepak serta acara lain di masa depan.