Halaman

13 February 2014

LTSM sedia Wifi percuma

Oleh: Suriati Ali 

Janji kerajaan negeri dalam Pembentangan Bajet 2014, pada Disember tahun lalu, untuk menyediakan kemudahan Wifi secara percuma kepada rakyat Terengganu kini terlaksana.

Kemudahan yang membabitkan kos kira-kira RM30 juta, kini boleh di akses di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu dan akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat di 600 lokasi seluruh Terengganu.

 Dalam tempoh terdekat, beberapa kawasan tumpuan pelancong, termasuk perpustakaan, stesen bas, pasar, jeti bot, taman awam dan taman reakreasi akan turut disediakan kumudahan itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan sediakan kemudahan itu kerana menganggap sebagai satu keperluan bermakna bagi rakyat, terutama golongan muda.

“Tidak ketinggalan, perkara itu cukup penting bagi pelancong dan pelabur untuk mengakses pelbagai maklumat penting ketika berada di negara ini khususnya Terengganu, selain dapat mengetahui lokasi menarik dengan mudah,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival ICT Terengganu, di Pusat Dagangan Terengganu, Jalan Hiliran, Kuala Terengganu, hari ini.

Karnival julung kali dianjurkan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu dan Unit Pengurusan Maklumat Negeri (UPMN) menyediakan pelbagai aktiviti menarik, antaranya permainan interatif, pertandingan mewarna, simulator 3D dan pameran bergerak.

 Dato’ Seri Haji Ahmad Said turut memberitahu, orang ramai tidak perlu mempercayai sebarang berita yang disampaikan melalui akaun Facebook (FB) yang mengunakan nama beliau, kerana jelas palsu.

 Katanya, tahun lalu, dia sudah menutup akuan FB, tetapi apa yang dikesalkan masih ada yang menggunakan nama dan gambarnya,.

“Berdasarkan siasatan pihak berkuasa, pemilik akaun itu mendaftar di Singapura dan satu akaun lagi di Amerika Syarikat.

 “Oleh itu, saya ingin jelaskan sekali lagi, jangan mempercayai sebarang maklumat atau berita yang disampaikan melalui FB menggunakan nama dan gambarnya ,” katanya.

 




No comments: