Halaman

17 February 2014

Malaysia rekod pelaburan tertinggi tahun lalu


Malaysia menerima pelaburan tertinggi dalam sejarah negara apabila mencatat RM38.7 bilion sepanjang tahun lepas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan itu bukan sahaja daripada pelabur asing, tetapi juga pelabur tempatan.


"Kita tidak bergantung kepada pelabur luar semata-mata, tetapi dari pelabur dalam negara sendiri. "Sebab itu kerajaan memberi penekanan yang sama agar pelabur asing dan tempatan melabur di negara ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengunjungi Kompleks Petronas di sini, semalam.

Turut hadir Pengurus Petronas Wilayah Timur, Wan Mohd Hawsnan Abdullah.

Mustapa berkata, pelabur asing membawa teknologi tinggi yang lebih canggih dan lengkap di mana kadang kala tidak ada di negara ini, kebanyakannya dalam bidang perkhidmatan dan teknologi tinggi.

Manakala pelabur tempatan pula menceburi bidang hartanah, pembinaan, perladangan, pelancongan dan sebagainya. 

"Jadi di sini, ia ada pengasingan antara pelabur asing dan tempatan yang kedua-duanya sangat penting. Tetapi pelabur asing lebih penting sedikit dari segi teknologi canggih dengan mewujudkan peluang pekerjaan tenaga mahir seperti di bidang teknologi maklumat (IT)," katanya.

Mustapa berharap negara mampu mengekalkan momentum pertumbuhan tahun lepas dan dengan keadaan ekonomi yang masih kukuh, pelaburan dapat dipertingkatkan lagi berbanding tahun lepas. Beliau mahu kerjasama lebih rapat dijalinkan antara Petronas, Mida dan Miti untuk mengembangkan lagi industri petrokimia di negara ini.

"Kita bangga sejak Petronas mula beroperasi di Terengganu pada 1984, ia berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan di samping memberi sumbangan besar di bidang pendidikan," katanya.

Menurutnya, syarikat kebanggaan negara itu bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di luar negara. 

"Semua rakyat Malaysia berhutang budi dan bergantung kepada Petronas, bukan sahaja dari segi hasil, tetapi juga peluang pekerjaan yang diwujudkan di negara ini dan juga di luar negara.

"Kita akan teruskan kerjasama yang erat ini untuk membangunkan lagi sektor petrokimia di negara ini," katanya.


No comments: