Halaman

04 February 2014

Pasta terima geran tahunan RM30,000

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menyerahkan geran tahunan pengurusan RM30,000 kepada Projek Akademik Sepak Takraw Terengganu (Pasta) bagi memastikannya kekal sebagai platform utama melahirkan pemain sepak takraw berwibawa di peringkat negeri dan juga negara sejak 25 tahun lalu.

YB Rozi Mamat menyerahkan geran tahunan RM30,000 kepada Pasta yang diwakili Dr.  Mohamad Omar disaksikan Ibni Amin Busu.
Sumbangan disampaikan Pengerusi jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat, di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis penyerahan penajaan pakaian kepada Pasta.

Hadir sama, Timbalan pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu; Pengarah Cawangan Pelapis Majlis Sukan Negara, Encik Jeffri Ngadirin dan Pengetua SMK Padang Midin, Puan Zah Mohamad.

Terdahulu, YB Rozi berharap dengan geran yang meningkat sebanyak RM5,000 kepada RM30,000 berbanding tahun lalu akan melancarkan lagi pengurusan Pasta serta melahirkan lebih ramai atlet yang berkaliber di arena sepak takraw negeri dan juga kebangsaan.

“Kita berharap Pasta dapat melakukan perubahan dari segi taktikal dan kaedah baharu supaya dapt mengatasi skuad sepak takraw dari negara lain. Jika terus dengan teknik lama, saya lihat kita akan kekal di tahap ini sahaja.

“Bukan sahaja dengan Korea, Indonesia dan Myanmar kita dilihat setaraf dan mereka juga lebih melonjak dalam sukan itu. Kita bukan tidak bagus, tetapi kita berada di tahap yang sama, tetapi mereka yang lebih melonjak dengan cepat dan kita harus pertingkatkan lagi,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk memenuhi keperluan atlet pelapis negeri dan negara termasuk menyediakan gelanggang yang lebih baik di masa depan.

Katanya, perkara susulan akan dilaksanakan selepas mendapat laporan penuh dari MSNT mengenai keperluan yang sepatutnya disediakan kepada Pasta, tidak lama lagi.

Pasta ditubuhkan pada Mei 1999 yang hanya disertai 12 pelajar sebelum berkembang kepada 34 pelajar pada masa kini.

Kesemua pelajar Tingkatan Satu hingga Lima berkenaan ditempatkan di SMK Padang Midin sebagai pusat latihan dan penempatan, turut menjadi duta kecil negara mempromosikan sukan itu di sekolah, kolej dan universiti di Darwin, Australia menerusi program Cross Culture pada 12 hingga 18 Februari 2010.

 

No comments: