Halaman

14 February 2014

PBSNT anjur kejohanan bola sepak

Oleh: Suriati Ali

 Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah-20 dalam usaha memastikan Terengganu mempunyai bakat-bakat baru pada masa depan.

 Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri, YB Rozi Mamat berkata kejohanan yang akan berlangsung pada 7 Mac hingga 23 Mei itu bakal merebut piala Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia.

 Katanya, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilantik selaku urusetia kejohanan dengan setiap daerah diwakili satu pasukan kecuali daerah Kuala Terengganu yang diwakili dua pasukan iaitu Kuala Terengganu Utara dan Kuala Terengganu Selatan.

“Kejohanan itu juga diharap akan menjadi pelengkap kepada struktur program pembangunan bola sepak negeri,” katanya.

 YB Rozi turut memberitahu, kerajaan negeri melihat program pembangunan bola sepak di negeri ini terbukti berjaya melahirkan bakat-bakat baharu yang berkualiti hasil beberapa inisiatif dilakukan.

 Rozi berkata ini dapat dilihat apabila 13 orang pemain telah dipilih oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mewakili pasukan Harimau Muda C, Harimau Muda B serta Harimau Muda A bagi tahun ini.

 Katanya sebahagian daripada mereka telahpun bersama FAM dan sebahagian lagi akan dipanggil menjalani latihan.