Halaman

03 February 2014

Tambah perpustakaan desa pupuk budaya minat membaca

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaaan negeri menyambut baik usaha Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menambah bilangan perpustakaan desa bagi membudayakan tabiat membaca di kalangan anak-anak Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi; Tenaga, Terknologi Hijau dan Air negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman berkata, selain mempertingkatkan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), kerajaan negeri juga akan memperluaskan kemudahan dari segi penggunaan bahan bacaan.

“Bagi memupuk minat membaca anak-anak pada masa akan datang, mungkin suatu masa nanti PPAT akan membuat satu transformasi iaitu konsep membaca secara virtual (maya).
"Dengan penggunaan media eletronik, secara tidak langsung kaedah ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan bercetak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perpustakaan Desa Kampung Kesom, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Dato’ Hajah Nor Akmal Abdul Fatah serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesom, Tuan Haji Mohd Jik Abdul Rahman.

Katanya, konsep maya merupakan tarikan baru kepada generasi abad ini untuk mereka mahir dalam bidang ICT serta manfaatkan kemudahan tersebut bagi menambah pengetahuan dalam sesuatu perkara berasaskan kepada pembacaan.

Mengulas mengenai perasmian perpustakaan tersebut, Dato’ Razif yang juga merangkap Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus berkata, usaha PPAT mengadakan kerjasama dengan JKKK Kampung Kesom melakukan pengubahsuaian balai raya di kampung tersebut untuk dijadikan perpustakaan desa harus dicontohi oleh semua pihak.

Difahamkan, Perpustakaan Desa Kampung Kesom mula beroperasi pada 1 Januari lalu dengan seorang petugas yang bertanggungjawab memberikan perkhidmatan kepada penduduk sekitar.

Sebagai permulaan, perpustakaan desa yang ke-52 di Terengganu itu menyediakan sebanyak 3788 naskhah buku dalam pelbagai bidang termasuk motivasi, agama, pendidikan, masakan, kraftangan, novel dan sebagainya.

Tujuh unit komputer turut disediakan untuk kegunaan orang ramai. Sehingga kini, bilangan ahli yang mendaftar adalah seramai 66 orang dan 400 naskhah buku telah dipinjam.

 

No comments: