Halaman

22 February 2014

Terengganu miliki 80 hektar kelapa Matag

Oleh: Suriati Ali 

Jabatan Pertanian Terengganu akan membelanjakan lebih RM1.5 juta tahun ini bagi meningkatkan penanaman kelapa hibrid Matag di kawasan seluas 80 hektar dalam usaha meningkatkan pendapatan petani.
Pengarah jabatan itu, Encik Md Yusof Maidin berkata pihaknya merancang menanam 10,680 kelapa Matag atau nama saintifiknya Cocos Nucifera 'Matag', di kawasan seluas 60 hektar di Kubang Puyu Calok, Setiu.

 Katanya, selain itu, kelapa Matag juga akan ditanam di kawasan seluas 10 hektar masing-masing di Kampung Kelulut dan Kampung Batu Putih di Marang dengan anggaran 1,780 pokok.

 “Kira-kira 25 hektar kawasan di negeri ini ditanam dengan kelapa Matag, iaitu kacukan kelapa Filipina dan Malaysia dengan kos RM750,000, sepanjang tahun lepas.

“Setakat ini, pihak kami telah menanam seluas 153 hektar kelapa Matag di seluruh Terengganu dan 30 hektar daripadanya telah mengeluarkan hasil sejak 2010,’ katanya.
 Encik Md Yusof berkata kelapa Matag boleh mengeluarkan buah antara 100 dan 120 biji setahun berbanding kelapa tempatan iaitu antara 50 dan 60 biji setahun.

 “Pihak kami akan menanam 25,000 pokok kelapa Pandan (Cocos Nucifera) di kawasan seluas 92 hektar di Kemaman, Dungun dan Marang tahun ini untuk menampung permintaan penjual air kelapa di negeri itu.

 “Kelapa pandan kini ditanam di kawasan seluas 456 hektar dengan 166 hektar daripadanya telah mengeluarkan hasil,” katanya.