Halaman

05 February 2014

Terserah kepada FAM : Rozi

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan negeri menerusi Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sudah mengambil
YB Haji Rozi Mamat
perjalanan sewajarnya , terserah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membuat keputusan, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia & Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Rozi Mamat, semalam.

“Bagi pihak kerajaan negeri menerusi PBSNT, kita sudah mengambil perjalanan dan tindakan sepatutnya bagi membantu melancarkan siasatan kes itu. Terserah kepada FAM untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, Kuala Terengganu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan lanjut mengenai kemelut membabitkan pasukan kelab, T-Team dengan Johor Darul Takzim ketika aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin 1 Februari lalu.

Rozi yang juga pengurus pasukan berkata, pihaknya kini hanya menyerahkan kepada FAM untuk menetapkan sebarang keputusan berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, beliau berharap walau apa jua keputusan yang dibuat oleh FAM nanti perlulah adil dan menyeluruh selain mampu memberi kepuasan kepada semua pihak.

“Kita mahu biarlah keputusan FAM nanti memberi keselesaan kepada semua pihak, bukan mahu menekan mana-mana pihak.

“Pada masa yang sama, perlu ada tolak ansur dan juga perbincangan antara kedua-dua pihak demi menjaga reputasi dan pembangunan sukan bola sepak negara,” katanya.

Terdahulu, di majlis itu beliau menyampaikan geran tahunan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) kepada Projek Akademik Sepak Takraw Terengganu (Pasta) berjumlah RM30,000.

No comments: