Halaman

25 February 2014

Tiada Campur Tangan Kedutaan Brazil : CEO T-Team

AB. RASHID JUSOH
Oleh: Fauzi Mohd
Gambar oleh Zulkipli Putra


T-Team menafikan kunjungan Duta Brazil di Malaysia ke negeri ini cubaan untuk campur tangan dalam kes membabitkan 'insiden torowong' di Johor Bahru awal bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) T-Team, Ab. Rasid Jusoh berkata, kehadiran Duta Brazil, Maria Auxiliadora Figueirado Ahad lalu bertujuan memantau perkembangan tiga rakyatnya yang berkhidmat bersama pasukan itu iaitu Evaldo Concalves dan Fabio Flor de Azivedo serta jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo selepas menerima laporan mengenai kejadian tersebut.

Majlis penyerahan tajaan kepada pasukan T-Team.
 "Beliau (Figueirado) cuma turun melawat, berbual dengan pemain dan pegawai pasukan dan berpuas hati dengan setiap penjelasan yang diberikan termasuk tahap keselamatan rakyatnya.

 "Jadi, tak ada istilah campur tangan. Dia cuma datang dan tengok sendiri keadaan rakyatnya di sini. Itu saja," katanya kepada pemberita selepas majlis T-Team bersama media di Hotel Permai, Kuala Terengganu malam tadi.

Turut diadakan sempena majlis itu ialah acara memperagakan jersi pasukan selain memperkenalkan penaja-penaja T-Team untuk musim ini.

Sementara itu, Ab. Rasid berkata, T-Team masih belum memutuskan tindakan tatatertib yang sewajarnya dikenakan terhadap Muhammad Irfan Abdul Ghani selepas pemain itu menghantar surat perletakan jawatan tempoh hari.

"Sejak dia balik (Johor), dia tak pernah hubungi kami dan kami pun tak tahu apa cerita.Perkara itu kita serah kepada jawatankuasa tatatertib (T-Team) untuk buat pertimbangan sewajarnya," katanya.