Halaman

09 February 2014

Tidak minat ulas mengenai pemain yang `lesap' : Azraai

Pengendali pasukan T-Team Mohd Azraai Khor Abdullah hanya mahu mengulas mengenai para pemain yang turun menjalani latihan daripada menyentuh pemain kontroversi, Irfan Abd Ghani yang sehingga kini 'lesap'.

 Mohd Azraai berkata beliau lebih berminat kepada pemain-pemain yang turun menjalani latihan daripada berbicara mengenai Irfan, pemain yang menimbulkan kontroversi dalam insiden kelam di Larkin, Johor Bahru, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Irfan, pemain pertahanan T-Team yang dikatakan individu yang tahu mengenai kejadian di sebalik insiden semasa perlawanan Piala FA antara T-Team dengan Johor Darul Takzim (JDT) minggu lepas.

Menurutnya pemain berkenaan sehingga kini masih belum turun untuk mengikuti latihan dan panggilan yang dibuat kepadanya tidak dijawab.

"Saya rasa tidak payah panggil, saya rasa sebagai pemain profesional dia tahu apa tanggungjawab dia dan apa dia perlu buat.

"Jadi, kita tunggu dan lihat, selebihnya saya tidak mahu komen, terserah kepada pihak pengurusan," katanya.

Selain itu, beliau juga percaya pihak pengurusan sudah mempunyai perancangan dan tindakan selanjutnya yang akan dikenakan kepada pemain terbabit.

Kekecohan berlaku pada saingan Piala FA pusingan kedua dalam terowong menuju bilik persalinan pemain pada waktu rehat di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Bahru, 1 Februari lalu apabila pemain T-Team dikatakan dikasari.

Susulan insiden itu, T-Team membuat keputusan menarik diri daripada aksi separuh masa kedua atas faktor keselamatan.


No comments: