Halaman

17 February 2014

Tiga program ijazah sarjana muda UniSZA diiktiraf JPA

Oleh: Aida Abd Rahman

Tiga program pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berjaya menerima pengiktirafan kelayakan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sekaligus membuktikan sudah mengorak langkah maju setapak ke hadapan.

Program berkenaan adalah Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Risiko Dan Takaful) dengan Kepujian, Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Perindustrian dengan Kepujian dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian).

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mahadzirah Mohamad berkata, pengiktirafan yang diberikan itu secara langsung membuka pelbagai peluang kepada graduan ketiga-tiga program berkenaan.

"Siswazah yang terbabit layak untuk memegang jawatan dalam sektor awam selain merebut peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi sama ada dalam mahupun luar negara.

“Alhamdulillah, saya juga amat bersyukur dan merakaman setinggi penghargaan kepada JPA atas pengiktirafan yang telah diberikan ini," katanya.

Sementara itu, Pusat Pengurusan Bakat dan Kualiti Akademik (CTMAQ), UniSZA menganjurkan Bengkel Penyediaan Dokumen MQA-01 dan Penyediaan Dokumen Penubuhan UniSZA International Campus Kuala Lumpur (UIC).

Bengkel tiga hari berakhir Sabtu lalu (15 Februari) itu bertujuan untuk menyediakan dokumen MQA-01 bagi program-program pascaijazah dan prasiswazah sebagai inisiatif menawarkan program akademik baharu di UniSZA, bertempat di Hotel Primula Kuala Terengganu.

Katanya, seramai 35 peserta dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTj) termasuk Fakulti Pengurusan Perniagaan & Perakaunan (FPPP), Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Fakulti Informatik & Komputeran (FIK), Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa (FUHA), Fakulti Bahasa & Komunikasi (FBK), UIC dan ESERI menyertai program berkenaan.

Selain Prof Dr Mahadzirah, hadir sama adalah Pengarah Pusat Pengurusan Bakat dan Kualiti Akademik (CTMAQ), Prof. Madya Dr. Nizaita Omar.