Halaman

23 February 2014

YT jadi penaja pinjaman tambahan mulai tahun ini

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

YB GHAZALI TAIB
Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan memperkenalkan polisi baru bagi pemberian pinjaman kepada pelajar yang menyambung pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam tempatan dan luar negara apabila menyediakan pinjaman tambahan kepada pinjaman sedia ada yang diperolehi setiap pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib, berkata melalui polisi baru itu YT tidak lagi menjadi penaja utama pinjaman tetapi hanya menjadi pelengkap dengan memberi pinjaman tambahan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan.


“Sebagai contoh seorang pelajar memerlukan keperluan sebanyak RM10,000 setahun, bagaimanapun pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), RM6,000, maka YT akan menyediakan pinjaman yang selebihnya kepada pelajar Terengganu berkenaan supaya mereka mampu belajar dengan selesa.

“Jika YT tidak melaksanakan sedemikian kerajaan negeri akan terus menanggung bebanan kos tinggi berbanding sumber negeri yang semakin terhad di masa depan. Malah, kita terpaksa membelanjakan hampir RM116 juta setahun bagi tujuan pembiayaan pinjaman pelajar,” katanya di Majlis Penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) Kali ke-34, di Riyaz Heritage & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, YB Haji Mohd Zubir Embong; Ahli Parlimen Setiu, YB Che Mohamad Zulkifly Jusoh; Pengarah YT, Haji Azmi Razik dan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Encik Zakaria Husin.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YT, Prof Dato’ Dr Aziz Deraman dan Timbalan Pengarah Pendidikan YT, Encik Razali Mahmud.

Dalam pada itu, Ghazali berkata pada tahun lalu, YT memperuntukkan kos sebanyak RM116 juta bagi menaja 2,200 penuntut di dalam negara dan 600 luar negara.

Sehubungan itu, katanya Ahli Lembaga Pemegang Amanah YT akan bermesyuarat tidak lama lagi bagi mengemaskini polisi baru yang dijangka akan dikuatkuasa pada tahun ini.

Di majlis itu, seramai 137 graduan yang mendapat ijazah kelas pertama layak mendapat anugerah Sarjana Terengganu dengan mMasing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Selain anugerah Sarjana Terengganu, dua pelajar turut mendapat anugerah Pingat Emas YT 2013, iaitu Anis Raihan Asmadi, 19, dan Muhamad Hamdan Syafieq Ahmad, 19, selepas melakar kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2012 serta aktif dalam kurikulum di sekolah.

Kedua-dua pelajar berkenaan memperolehi ganjaran berjumlah RM7,000 seorang melibatkan wang tunai RM5,000, pingat emas, seunit komputer riba dan sehela kot.

Sehubungan itu, Ghazali berkata, semua pelajar yang perlu memohon pinjaman daripada saluran pusat termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), PTPTN, Mara atau mana-mana agensi lain.
Bagaimanapun YT masih meneruskan penajaan sepenuhnya kepada pelajar yang benar-benar cemerlang berdasarkan potensi bidang pengajian dan kriteria tertentu.