Halaman

19 March 2014

Angkasa intai peluang di ECERDC

Oleh; Esah Abdullah 

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berhasrat mengambil bahagian dalam Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dalam usaha memperkasakan ahli koperasi di neger ini.

 Presidennya, Dato' Abdul Fatah Abdullah berkata, terdapat 566 koperasi di negeri ini di mana 80 peratus merupakan koperasi mikro dan kecil yang berpendapatan tahunan kurang daripada sejuta.


" Angkasa akan ambil inisiatif membantu koperasi di negeri ini mengintai peluang-peluang perniagaan terutama di kawasan ECERDC ," katanya kepada pemberita di Persidangan Angkasa Negeri Terengganu di Hotel Primula Kuala Terenggganu hari ini.

Katanya, daripada 566 buah koperasi dengan keahlian 234,000 orang serta memiliki saham RM206 juta sudah cukup untuk menceburkan diri dalam mana-mana projek yang terdapat di negeri ini.

"Kita diberi tanggungjawab membangun dan merangsang perniagaan koperasi dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) termasuk mewujudkan jaringan perniagaan dalam dan luar negara," katanya.

Beliau berkata, Angkasa akan mewujudkan Bandar Koperasi di Bandar Penawar, Johor Baharu dalam kawasan Wilayah Iskandar dengan anggaran kos RM1 bilion.

"Angkasa telah memperolehi 29.5 hektar kawasan di Wilayah Iskandar untuk dibangunkan pusat perniagaan, rumah penginapan mampu milik dan kemudahan perbankan," katanya.

Menurutnya, Angkasa telah mewujudkan jawatankuasa khas untuk mencari peluang-peluang perniagaan membantu koperasi negeri-negeri mendapatkan projek-projek di peringkat negeri.

Katanya, Angkasa juga sedang mengadakan perbincangan dengan koperasi di Cina dan Korea untuk bergabung membangunkan sektor koperasi di negara ini termasuk bertukar kepakaran.

Sementara itu Dato' Abdul Fatah berkata, sehingga tahun akhir tahun lalu sebanyak 11,000 koperasi bernaung di bawah Angkasa dengan keahlian lebih 8 juta orang dan modal berbayar RM12 billon. Manakala asset terkumpul kira-kira RM100 billion sehingga kini.

 

No comments: