Halaman

19 March 2014

Denggi kuatkan azam cemerlang STPM

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kecewa tidak memperoleh semua A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dua tahun lalu mendorong anak muda yang pernah bertarung dengan maut akibat denggi berusaha keras sehingga muncul salah seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 negeri Terengganu.

Wee Ying Ni dari SMK Chung Hwa Wei Sin menunjukkan keputusan STPM yang diperolehinya.
Serangan denggi yang menyebabkannya koma selama tiga hari semasa pelajar lain tekun menduduki peperiksaan dianggap sebagai satu ‘tamparan’ paling hebat buat Wee Ying Ni, 19, sekali gus menguatkan azam untuk berusaha bersungguh- sungguh sehingga mendapat 4A dalam keputusan STPM yang diumumkan serentak di seluruh negara, hari ini.


Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu itu mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dengan memperoleh A bagi keempat-empat subjek yang diambil iaitu Pengajian Am, Matematik, Kimia dan Biologi.

Anak gadis kepada pasangan Wee Eng Poh, 53, dan Chee lai Leong, 45, menyifatkan kejayaannya adalah berkat usaha gigih untuk menebus kekecewaan dalam SPM lalu kerana hanya mendapat 8A, 1 E dan TH (tidak hadir) satu mata pelajaran.

“Semasa menduduki kertas biologi dalam peperiksaan SPM ketika itu, secara tiba-tiba saya letih dan tidak bermaya sehingga dinasihatkan oleh pengawas peperiksaan supaya menyelesaikan kertas tersebut di hospital. Namun malangnya, saya tidak sempat menjawab semua soalan.

“Kemudian, saya dirujuk ke hospital swasta di Kuala Lumpur dan doktor mengesahkan saya terkena serangan denggi dan koma selama tiga hari sehinggakan tidak sempat mengambil kertas Bahasa Cina,” jelasnya.

Wee Ying Ni merupakan pelajar kedua daripada tujuh terbaik negeri ini yang memperoleh keputusan cemerlang 4A.

Enam lagi pelajar lain ialah Mohamad Shukri Muda dari SMK Panji Alam, Kuala Terengganu; Seeh Ti Whan (SMK Tengku Bariah) Kuala Terengganu; Nor Hasnita Samsudin (SMK Putra) Jerteh; Leong Yuan Yi (SMK Tengku Intan Zaharah) Dungun; Nurul Syahirah Muhamad (SMK Paka) Dungun dan Phang kean Lap (SMK Sultan Ismail) Kemaman.

Ditanya rahsia kejayaannya, Wee Ying Ni yang merancang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi di Universiti Sains Malaysia (USM) memberitahu, dia tidak mempunyai sebarang rahsia kejayaan, sebaliknya hanya memberi tumpuan penuh semasa di kelas dan berbincang dengan rakan-rakan bagi lebih memahami apa yang diajar guru.

Katanya, dia terlalu gembira dengan kejayaan tersebut dan ingin mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan yang banyak mendorongnya sehingga berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam STPM.