Halaman

15 March 2014

KAJANG: Khairy tumpu sokongan golongan muda.


Khairy...tumpu orang muda.
Oleh: Aminudin Ismail. 

BARISAN Nasional akan memfokuskan kempen kepada golongan muda bagi menarik lebih ramai golongan itu menyokong calon BN pada Pilihanraya Kecil (PRK) Dun Kajang 23hb Mac ini.

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin, berkata tumpuan itu perlu dilakukan kerana pada Pilihanraya Umum (PRU) lalu, sokongan golongan muda terhadap BN kurang mengalakkan.

"Kita memerlukan sokongan pengundi muda kerana kita melihat pada keputusan PRU yang lepas, saluran muda di kawasan Kajang ini tidak beberapa memihak kepada BN.

"Jadi kita sedang kejar lagi dengan mengadakan pelbagai program, program santai seperti ini, program sukan dan beberapa program yang dijadualkan.

"Semua usaha ini adalah untuk mempastikan semua saluran muda ini kita dapat tingkatkan lagi, InsyaAllah," katanya ketika menyertai kempen bersama calon BN PRK Dun Kajang di sebuah taman di Bandar Kajang, pagi tadi.

Khairy berkata, kira-kira seramai 14 ribu pengundi muda akan mengundi di PRK Kajang ini dan pihaknya akan menjalankan beberapa pendekatan dengan memberi penerangan tentang isu-isu semasa yang dibangkit dan akan sentiasa berdampingan dengan golongan muda itu.

Menurutnya, penerimaan pengundi Kajang terhadap calon BN semakin baik dan jentera kempen BN perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan Kajang kembali kepada BN.

Sementara itu, calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun, berkata beliau yakin dengan sokongan yang kuat dari semua kompenan parti, BN akan dapat memenangi kerusi Dun Kajang itu.
Khairy bersama Chew di sebuah kedai makan.

Chew menyampaikan risalah kepada seorang penduduk.

Khairy ketika ditemuramah.

Calon BN PRK Kajang.