Halaman

09 March 2014

Kaum wanita perlu rebut peluang dalam bidang keusahawanan

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) memperuntukkan lebih RM20 juta menerusi Bajet 2014 untuk membantu wanita di negeri ini menceburi bidang perniagaan serta Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Mohd Iskandar Jaafar berkata, kaum wanita perlu merebut peluang keemasan itu untuk mendapatkan bantuan modal, pinjaman atau dana khas samada bagi memulakan perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Kita sedia maklum ramai usahawan di Terengganu terdiri daripada golongan wanita. Malah, kerajaan negeri meletakkan satu belanjawan khusus untuk golongan ini bagi menceburi bidang perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

"Justeru, saya menyeru kaum wanita di luar sana mengambil peluang ini untuk meningkatkan kebolehan mereka samada dalam bidang keusahawanan atau bidang-bidang lain yang boleh membantu kepada perkembangan komuniti itu sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Jom Bersama-sama Avon Meraikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa di Mydin Mall Kuala Terengganu, semalam.

Mengulas mengenai program berkenaan beliau berkata, sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun merupakan penghargaan terhadap kaum wanita seluruh dunia.

“Program anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Terengganu dengan kerjasama Avon Cosmetics (M) Sdn Bhd ini merupakan satu bentuk pengiktirafan badan kerajaan dengan kerjasama sektor korporat terhadap golongan wanita dan patut dicontohi pihak lain.

“Selain memenuhi tanggungjawab sosial korporat, tidak ketinggalan mereka turut mengiktiraf peranan dan fungsi yang dimainkan oleh wanita dalam membangunkan komuniti dan juga masyarakat,” ujarnya.