Halaman

06 March 2014

Kerjasama dengan PBT pantau aktiviti perniagaan pasar malam

Oleh: Noraini Jusoh

Semua Pejabat Kesihatan Daerah diarah berkerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pemantauan dan mengambil tindakan segera bagi memastikan pasar malam di seluruh negeri ini bebas daripada aktiviti perniagaan yang boleh menyebabkan keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, langkah pemantauan itu perlu sebagai usaha memastikan peniaga pasar malam mermatuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Pemantauan ini akan dibuat berterusan sehingga kita yakin keadaan kembali reda dan peniaga memahami dan mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Kita mengambil pendekatan dalam masa terdekat ini dengan cara yang agak agresif sedikit supaya peniaga pasar malam lebih peka terhadap aspek kebersihan dan mengharapkan peraturan dan ketetapan yang dibuat oleh pihak berkuasa diberi perhatian sewajarnya oleh mereka,” ujarnya ketika diminta mengulas mengenai kes keracunan makanan di bandaraya ini yang menyebabkan 155 orang dilaporkan mendapatkan rawatan sejak Sabtu lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Pelatih Jahitan SLDN Khas Sesi 2013 Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu, di Kuala Ibai, hari ini.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku selepas pesakit terbabit makan makanan dijangkiti bakteria Salmonella yang menyebabkan mangsa muntah dan cirit birit.

Menurutnya, semalam lebih 20 peniaga pasar malam telah dikenakan kompaun melibatkan pelbagai kesalahan termasuk tidak menutup kepala, tidak memakai apron, tiada lesen dan tidak memperbaharui lesen.