Halaman

06 March 2014

Mangsa harap peniaga ambil iktibar

Oleh: Suriati Ali

“Saya berharap peniaga pasar malam terbabit sedar dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan kematian seorang kanak-kanak dan hampir 150 lagi pelanggan alami keracunan makanan, akibat hidangan yang dijual..

 “Peniaga tidak wajar memikirkan mengenai untung saja dengan menjual makanan basi dan sudah tercemar, sebaliknya perlu menjaga kebersihan dan patuh undang-undang bagi mengelak perkara seumpama ini berulang,” kata mangsa Khairul Hamizy Ramlee, 28.

 Khairul yang bertugas sebagai wartawan sambilan Harian Metro turut memberitahu, dia dan empat ahli keluarga lain alami cirit birit dan muntah-muntah, beberapa jam selepas makan mee goreng , nasi goreng dan ayam goreng.

“Kami berlima dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah secara berasingan, di mana anak saudara berusia lima tahun, terlebih dahulu mendapatkan rawatan dan saya yang paling akhir, iaitu pagi semalam,” katanya.

 Seorang lagi mangsa, Muhammad Farid Aizuddin Abd Rahsid, 22, berkata dia mula agak alami keracunan makanan selepas makan nasi goreng yang di jual di pasar malam, Taman Shahbandar, Kuala Terengganu, Jumaat lalu.

 “Pada awalnya, ingat saya perut biasa, lama kelamaan mula muntah dan ciri birit, sebelum bagi tahu ayah , minta hantar ke HSN,” katanya.

 Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan seramai 37 orang lagi mangsa keracunan makanan dimasukkan HSNZ, Kuala Terengganu, sehingga petang semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato’ Dr. Anwa Sulaiman ketika mengesahkan perkara itu berkata, mereka terdiri daripada 25 pesakit dewasa dan 12 lagi kanak-kanak.

"Perkembangan itu tidak bermakna kes keracunan makanan tersebut semakin serius sebaliknya menunjukkan tahap kesedaran orang ramai yang semakin baik untuk segera mendapatkan rawatan," katanya kepada pemberita ketika mengiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melawat sebahagian mangsa keracunan makanan di wad hospital berkenaan, semalam.

 Katanya, tiga peniaga berkenaan disiasat dan pihaknya kini menunggu laporan penuh sebelum mendakwa tiga peniaga berkenaan mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

 “Hasil bedah siasat Muhammad Iqbal Rafie Mohd Ilmie, 5, menemui bakteria Salmonella dalam badannya. Bakteria itu dikesan menerusi air tulang belakang serta darah dari saluran jantung kanak-kanak itu dan kami yakin punca kematiannya disebabkan bakteria berkenaan.

 “Kami percaya bakteria berkenaan datang dari pasar malam di Dataran Shahbandar dan Jalan Hiliran. Buat masa ini, kita masih menunggu bukti dan ketiga-tiga peniaga pasar malam terbabit pasti berdepan hukuman sekiranya bakteria berkenaan dikesan di gerai mereka,” katanya.


 

No comments: