Halaman

31 March 2014

MSNT Mahu Ikat Atlet

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mahu `mengikat’ atlet lepasan sekolah supaya terus kekal berada di negeri ini kerana mudah untuk mengatur program dan jadual latihan.

Hasrat itu disusuli program persefahaman dengan 12 Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta, termasuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Politeknik dan Kolej Komuniti.

 


 Berdasarkan rekod, lebih 200 atlet sama ada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pengajian Tinggi Malaysia (STPM) dapat menyambung atau sudah tamat pengajian masing-masing sejak persefahaman itu diperkenalkan pada 2010 lalu.


Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin berkata pihaknya berusaha mengadakan persefahaman dengan beberapa IPT awam dan swasta di Terengganu, bagi memudahkan atlet mendapat maklumat jelas.

“Kita mengambil pendekatan itu kerana tidak mahu berdepan masalah kehilangan bintang muda, terutama atlet yang pernah mencipta nama di luar negara dan memperoleh kejayaan dalam Sukan Malaysia (Sukma).

 “Jika atlet menyambung pelajaran di IPT awam atau swasta di Terengganu, mudah bagi MSNT memantau aktiviti sukan mereka, selain membuka ruang untuk memilih kerjaya dalam sektor kerajaan apabila tamat pengajian kelak,” katanya.

 Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat IPT Awam, Swasta dan Pusat Kemahiran, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

 Lebih 120 atlet Sukma lepasan SPM dan STPM hadir di majlis itu bagi mendapat maklumat dan mendengar taklimat daripada wakil-wakil IPT awam, swasta dan pusat kemahiran.

 Zainal berkata, sebelum ini hampir keseluruhan atlet mendayung, sudah menempatkan diri di Unisza dan bagi atlet silat dan bola baling pula berjaya menyambung pelajaran di Intitut Kemahiran Belia Negara.

 Katanya, apabila bergelar atlet, mereka diberi laluan mudah untuk melangkah ke mana-mana pusat pengajian, diberi elaun khas dan keistimewaan tertentu, termasuk yuran penginapan dimansuhkan.

“Peluang itu sewajarnya direbut bagi mengelak atlet tercicir dalam pelajaran.

“Walaupun mendapat keputusan kurang memuaskan dalam peperiksaan yang diambil, mereka masih boleh mencuba, kerana ada ruang di mana-mana pusat latihan atau kemahiran untuk menyambung pelajaran,” katanya.



No comments: