Halaman

18 March 2014

Pameran Demi Masa di Muzium Negeri

Oleh: Noraini Jusoh
Bagi memperlihatkan peradaptasian manusia dan masa, Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) menganjurkan Pameran Demi Masa di Dewan Madalika LMNT, Bukit Losong bermula semalam sehingga 15 Jun ini.

Pengarah LMNT Mohd Yusof Abdullah berkata, pameran berinformatif itu antaranya bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan pengurusan masa, khususnya kepada generasi muda betapa masa yang diperuntukkan kepada kita semua adalah singkat dan perlu jitukan matlamat dalam kehidupan.

“Selain itu, pameran selama tiga bulan ini turut mendedahkan pengunjung mengenai kesungguhan masyarakat terdahulu menghargai masa dan bagaimana kreativiti mereka dalam merekacipta alatan mengukur masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Pameran Demi Masa yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Mohd Jidin Shafee di Kompleks LMNT, semalam.

Mohd Yusof berkata, sempena pameran ini juga pelbagai koleksi dari dalam dan luar negara dipamerkan bagi memberi pemahaman evolusi pengukuran masa yang berlaku terutamanya untuk tatapan pelajar sekolah.

“Malah, sejajar dengan sasaran utama pengujung pameran tersebut iaitu pelajar sekolah, LMNT akan mengadakan program Warna-Warni Cuti Sekolah di perkarangan muzium bermula 21 Mac ini.

“Pelbagai aktiviti menarik yang fokus kepada pendidikan seperti demostrasi masakan, permainan dan persembahan kebudayaan boleh dipelajari.

Tambah Mohd Yusof, selain mendedahkan anak-anak dengan pelbagai informasi menarik berkaitan masa melalui pameran yang dijalankan, ibu bapa secara tidak langsung dapat menggalakkan anak-anak melakukan aktiviti berfaedah apabila membawa mereka berkunjung ke muzium.