Halaman

16 March 2014

Peruntukan lebih RM100 juta untuk pendidikan anak Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) memperuntukkan lebih RM100 juta setiap tahun bagi memastikan setiap anak Terengganu dapat meneruskan pengajian di pelbagai peringkat dan bidang pengajian mengikut tahap kecemerlangan masing-masing.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, bagi pelajar cemerlang kerajaan negeri menyediakan peluang bagi melanjutkan pengajian dalam bidang profesional ke universiti terkemuka dunia.

“Manakala, bagi yang kurang cemerlang kita menyediakan peluang pelajaran dalam bidang kemahiran.

“Ini bertepatan dalam misi menjadikan Terengganu, Negeri Anjung Ilmu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Kerjasama Kepimpinan Yayasan (MKKY) Kali ke-21 di Hotel Primula, malam tadi.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, peruntukan RM3.3 juga diluluskan oleh kerajaan negeri bagi melaksanakan program Trenglish untuk anak Terengganu.

“Program kerjasama antara YT dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu itu merupakan satu aktiviti sokongan bahasa Inggeris kepada pelajar di negeri ini.

“Ia sebagai langkah proaktif dalam usaha memastikan pelajar lulus mata pelajaran bahasa Inggeris pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 sepertimana yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2015,” katanya.

Tambah beliau, usaha ini juga bertujuan menganjak minda masyarakat Terengganu ke arah penguasaan dan pengunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi yang lebih meluas.