Halaman

16 March 2014

Sambutan program Jejak Menara di luar jangkaan

Oleh: Noraini Jusoh

Program Jejak Menara anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berjaya menarik 1700 penyertaan daripada pelajar di negeri ini.



Dengan mengfokuskan kepada pelajar lepasan SPM, STPM dan STAM, ia bertujuan mendedahkan pelajar mengenai persediaan rapi perlu dilakukan sebelum menjejakkan kaki ke menara gading.

Program di bawah naungan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Abdul Razak yang julung kali diadakan mempunyai 14 siri dibuat secara’ roadshow’ di seluruh negeri sepanjang Mac ini.

Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Jailani Ngah berkata, penganjuran program Jejak Menara di Terengganu mencatat sejarah tersendiri kerana penyertaan di luar jangkaan.

“Walaupun sasarannya hanya 1000 orang sahaja untuk setiap negeri, jumlah penyertaan diluar jangkaan ini menunjukkan anak-anak Terengganu semakin peka terhadap program berbentuk akademik dan mengunakan kecanggihan media sosial untuk mendapatkan info yang bermanfaat bagi diri mereka seperti maklumat mengenai program ini.

“Saya berbangga dengan penyertaan pelajar dari negeri ini dan sememangnya program sebegini wajar diadakan sebagai pendedahan awal kepada mereka kerana pelbagai cabaran dan dugaan yang lebih besar akan dihadapi apabila bergelar mahasiswa kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Program Jejak Menara 2014 bagi Negeri Terengganu, di UMT, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar (Pengurusan) YADIM, Fazni Mat Ariffin.

Menurut Dato’ Jailani, selain pengisian program yang menekankan kepada aspek kerohanian dan jati diri pelajar, mereka turut didedahkan mengenai isu-isu semasa dalam usaha membangunkan kewibawaan bakal mahasiswa dengan keluasan ilmu dan berakhlak mulia.

 



No comments: