Halaman

20 March 2014

SPM 2013: Terengganu terus unggul

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra 

 Terengganu terus mengungguli kecemerlangan dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 apabila merekodkan peningkatan dari segi Gred Purata Negeri (GPN) terbaik dalam tempoh sepuluh tahun lalu.

Sebahagian pelajar  Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SeSMA) meraikan pencapaian mereka selaku sekolah terbaik SPM Negeri Terengganu.
Pecapaian GPN pada 2013 telah meningkat kepada 4.90 berbanding 5.01 pada 2012 iaitu meningkat sebanyak 0.11 dan mengatasi Gred Purata Nasional 4.93.

 Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Zakaria Hussin berkata keputusan itu adalah pencapaian terbaik bagi Terengganu sejak Sistem Pensijilan Terbuka SPM di perkenalkan lima tahun lalu.


“Pihak kami percaya bukan perkara mudah untuk mempertahankan kecemerlangan, tambahan pula kini mata pelajaran sejarah disyaratkan wajib lulus.

 “Walaupun pecapaian GPN telah meningkat, namun terdapat penurunan dari segi bilangan calon yang memperoleh A+ dalam semua mata pelajaran diambil di mana hanya 5 calon mendapat keseluruhan A+ berbanding 19 calon pada 2012,” katanya.

Belaiu berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil SPM kepada calon Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Terengganu, hari ini.

 SESMA yang berjaya mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.12 disenaraikan antara sepuluh sekolah paling cemerlang di Terengganu, diikuti Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu (1.64) dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Integrasi Batu Rakit, Kuala Terengganu pula memperoleh 1.87.

Manakala Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin pula mendapat GPS 1.92, SM Imtiaz Besut (2.02); SM Sains Dungun (2.03); SM Imtiaz Kuala Terengganu (2.04); SM Imtiaz Dungun (2.16); SM Imtiaz Kuala Berang (2.23) dan SMKA Sheikh Abdul Malik berjaya memperoleh 2.25.

 Encik Zakaria turut memberitahu prestasi calon yangmendapat semua A (A+,A dan A-) menunjukkan sedikit penurunan di mana seramai 464 pelajar mendapat semua A berbanding 513 pelajar pada SPM 2012.

“Bilangan calon yang berjaya mendapat sekurang-kurangnya gred kepujian atau C bagi semua matapelajaran yang diduduki pula menunjukkan peningkatan dari segi peratusan iaitu 16.49 peratus (3,381 orang) berbanding 16.21 peratus (3,386 orang) berbanding 2012,” katanya.