Halaman

29 March 2014

UKOM anjur solat hajat MH370.

BACAAN YASIN...beberapa kakitangan Unit Komunikasi (UKOM) Negeri Terengganu dan wartawan dari pelbagai media sedang membaca surah yasin di Majlis Tahlil dan Solat Hajat yang dianjurkan oleh unit itu di pejabat UKOM, Jalan Pejabat, malam kelmarin.

Timbalan Pengarah UKOM, Roslan Abdul Rahman berkata, majlis itu diadakan adalah bertujuan untuk mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t mengenai kedudukan sebenar MH370.

"Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab, UKOM menyampaikan maklumat kepada rakyat turut serta menganjurkan solat hajat, doa dan bacaan yaasin pada malam ini.

"Pada malam ini, kita memohon dan mendoakan kepada Allah s.w.t supaya diberi pentunjuk di manakah kedudukan MH370 serta diberi petunjuk samada mangsa yang terlibat itu sudah meninggal dunia atau masih hidup.

"Sekiranya masih hidup, kita bersyukur tetapi sekiranya mereka sudah meninggal dunia maka sama-sama kita berdoa kepada Allah Taala, khususnya kepada yang beragama Islam supaya mereka selamat di Akhirat," katanya.

Roslan berkata, pada malam kelmarin juga,beberapa tempat di seluruh Terengganu turut mengadakan solat hajat dan bacaan yasin untuk MH370.

Solat hajat itu diimamkan oleh Ustaz Zulkifli Mohd Nasir, bekas SU Politik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Ustaz Zulkifli juga sempat menyampaikan tazkirah mengenai qada dan qadar Allah kepada beberapa hadirin pada malam itu. - Aminudin Ismail.