Halaman

06 March 2014

Yayasan Terengganu taja lima pelajar ke Jerman kuasai bidang automotif

Teks oleh: Noraini Jusoh
Gambar oleh: Mohd Hafizuddin Mat Tahar

Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menaja lima anak Terengganu melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif di beberapa universiti terkemuka Jerman bagi kemasukan September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Tugas-Tugas Khas negeri, YB Ghazali Taib (gambar), berkata, matlamat kerajaan negeri menghantar anak-anak Terengganu yang cemerlang dalam pelajaran itu ke Jerman adalah sebagai projek perintis memandangkan negara berkenaan mempunyai kepakaran yang tinggi dalam bidang automotif.

"Lima pelajar bertuah itu adalah Sayyid Abdul Halim Syed Omar (20), Wan Muhammad Syakiran Wan Mazlan (20), Ahmad Ahsan Yusob (20), Wong Soo Siang (20) dan Nor Hidayati Zaim (20).

“Sebagai persediaan, kita menghantar anak Terengganu ke Jerman untuk melahirkan jurutera dalam bidang automotif memandangkan negara kita secara formal belum mempunyai jurutera yang berkemahiran tinggi mengikut teknologi semasa dalam bidang tersebut.

“Selari dengan hasrat menuju negara maju, sememangnya kita memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kecekapan dan kepakaran dalam bidang itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Teganukita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Wang Pendahuluan Diri Kepada Pelajar Tajaan Yayasan Terengganu Ke Jerman, di Wisma Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Tuan Haji Azmi Razik serta Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Terengganu, Haji Mohd Razali Mahmud.

Menurut YB Ghazali, lima pelajar berkenaan akan mengikuti pengajian selama empat tahun di Jerman termasuk menjalani latihan industri di bandar Leipzig dan Ingolstadt, Jerman yang terkenal dengan pengeluaran kereta berteknologi tinggi seperti Porche dan Audi.

Katanya, bagi mencapai hasrat melahirkan jurutera automotif berkemahiran tinggi di kalangan anak Terengganu, kerajaan negeri menawarkan biasiswa RM290 ribu seorang untuk tempoh empat tahun kepada lima pelajar itu yang sebelum ini mengikuti program A-Level di German Malaysian Institute (GMI).

Tambah beliau, walaupun lima pelajar tersebut tidak diwajibkan berkhidmat di Terengganu apabila menamatkan pengajian nanti, tetapi kerajaan negeri menggalakkan mereka menabur bakti dalam bidang kepakaran masing-masing di negeri ini.

 

No comments: