Halaman

17 March 2014

YPU sasar 50 peniaga berprestasi tinggi

YB Roslee Daud (tengah) melihat pembikinan batik cetak berkomputer di kilang Desa Murni Batik di Pulau Rusa.
Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

 Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) mensasarkan 50 peniaga mampu diiktiraf sebagai usahawan berprestasi tinggi sepanjang tahun ini, berdasarkan nilaian produk dan .berpendapatan tahunan yang diperoleh.


Pengerusi Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi, dan Kepenggunaan Negeri, YB Roslee Daud, berkata pengiktirafan itu dinilai mengikut penarafan bintang, selain memperoleh pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM2 juta setahun.

 Katanya, berdasarkan rekod tahun lalu , pihaknya mengiktiraf seramai 35 usahawan yang berjaya memenuhi syarat tertentu.

 “Mereka ini sentiasa dipantau melalui program Jejak Usahawan Terengganu, bagi mencungkil idea-idea baru, selain mengetahui bagaimana mereka boleh berjaya.


“Usaha itu penting bagi kami untuk berkongsi idea, mengetahui perihal perniagaan, sebelum dapat dikongsi kepada usahawan lain, terutama bagi mereka yang baru belajar berniaga.

 “Di Terengganu terdapat kira-kira 8,000 usahawan di bawah bimbingan YPU, mereka ini turut dibimbing dan diberi kursus tertentu agar dapat bersaing dengan peniaga yang telah berjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum memulakan sesi lawatan kerja Jejak Usahawan di kilang syarikat Desa Murni Batek, Pulau Rusa Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama dalam lawatan kerja itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis dan beberapa pegawai kanan yayasan itu.

 Sementara itu, Pengarah Urusan Desa Murni Batek, Encik Suhaimi Embong, berkata, pihaknya ada menawarkan kelas tambahan, agihan buku rujukan dan motivasi percuma kepada kira-kira 200 pelajar SekolahKebangsaan Pulau Rusa (SKPR) pada setiap tahun.

“Program amal yang dimulakan lima tahun lalu, kini menampakkan hasil membanggakan apabila SKPR berjaya menduduki tangga ke tujuh bagi peringkat daerah dalam Ujian Pecapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013,” katanya.

Desa Murni juga melabur sebanyak RM650,000 bagi menaja pasukan Terengganu, Kelantan serta sebuah lagi pasukan kelab T-Team sebagai sokongan demi memajukan industri bola sepak tanah air.