Halaman

07 March 2014

YPU Terengganu jalin kerjasama dengan Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia

Oleh: Noraini Jusoh

Bagi meningkatkan daya saing produk menerusi reka bentuk pembungkusan dan pelabelan produk, Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan salah sebuah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia (DDEC).

Majlis menandatangi MoU yang berlangsung di Mayang Sari Resort, Dungun itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Che Razali Adis serta Ketua Pegawai Eksekutif DDEC, Datuk Abdul Rahim Hassan.

Che Razali berkata, pihaknya berharap melalui memorendum tersebut, ia dapat mewujudkan usahawan yang lebih berdaya maju dan pelbagai latihan serta pembudayaan keusahawanan serta perniagaan dapat dijalankan.

"Kami berharap dengan adanya MoU ini, kesedaran usahawan terutamanya yang terlibat dalam Industri Kecil Sederhana (IKS) terhadap kepentingan adanya pelabelan dan pembungkusan untuk produk mereka akan meningkat.

"Kini hanya 15 peratus dari 8,000 usahawan yang berdaftar mempunyai pelabelan dan pembungkusan serta penjenamaan sendiri dan kita harap ianya akan dapat ditingkatkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Seminar Penjenamaan dan Pembungkusan Produk, semalam.

Majlis yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud turut disertai Pengarah Mara Terengganu, Abdullah Mohamad.

Sementara itu, Roslee berkata kurangnya kesedaran usahawan terhadap penjenamaan dan pembungkusan adalah disebabkan pemikiran usahawan yang tidak terbuka yang menganggap kos pembungkusan serta penjenamaan tinggi dan tidak berbaloi dengan keuntungan yang diperoleh.

"Sebenarnya, apabila mereka membuat pembungkusan, pelabelan serta penjenamaan yang baik, ia sebenarnya menguntungkan mereka untuk masa akan datang sebab pengguna akan lebih tertarik dengan apa yang mereka pasarkan.

"Penjenamaan dan pembungkusan ini sebenarnya dapat menaikkan seseorang usahawan dan dapat menjadikan mereka dapat bersaing dengan usahawan lain.

Memang semua ini melibatkan kos, tetapi usahawan tidak perlu bimbang sebab YPU, MARA serta DDEC ada dibelakang mereka untuk membantu dan memberi tunjuk ajar," katanya.

Menurutnya, usahawan terutamanya bagi usahawan luar bandar juga digalakkan menggunakan khidmat yang ditawarkan oleh agensi-agensi seperti YPU serta Mara yang dapat memberi bimbingan kepada mereka untuk lebih berdaya saing setanding dengan usahawan lain yang telah maju.

 

No comments: