Halaman

06 April 2014

150 pesakit buah pinggang baru setahun.

Dr. Anwa.
Oleh: Aminudin Ismail. 

ORANG RAMAI disaran supaya sentiasa menjaga rapi buah pinggang kerana terdapat seramai kira-kira 150 pesakit baru penyakit  buah pinggang dilaporkan pada setiap tahun di negeri ini, kata Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Anwa Sulaiman.

Katanya, buah pinggang juga mempunyai penuaan sama seperti menusia dan katanya, apabila usia semakin meningkat setiap organ manusia termasuklah buah pinggang juga melalui proses peningkatan usia ataupun penuaan.

“Jadi buah pinggang juga perlu dijaga rapi seperti orangnya dan juga organ-organ yang lain, penjagaan yang paling senang ialah melalui tabiat pemakanan yang seimbang, bersenam dan tidur dengan cukup.

Katanya, penyakit buah pinggang ini yang paling ditakuti adalah kegagalan buah pinggang diperingkat akhir ataupun peringkat teruk.

“Jika dah sampai di peringkat teruk ia tidak dapat dipulihkan . Pesakit perlu menjalani rawatan gantian seumur hidup, rawatan gantian fungsi buah pinggang rosak dan gagal berfungsi .

“ Rawatan ini ada tiga cara sahaja iaitu rawatan hemodailisis, rawatan CABD (Cucian Melalui Perut) dan rawatan pemindahan buah pinggang,” katanya.

Katanya, kini terdapat sebanyak 128 buah mesin hemodailisis di semua hospital kerajaan di negeri ini bagi menampung seramai 467 pesakit buah pinggang.

“Di Hospital Setiu, kita ada 13 buah mesin dengan 46 pesakit. Jadi yang agak mendesak bagi kita ialah semua enam hospital ini, kecuali Hospital Setiu dan Hospital Dungun telah tiada kekosongan menerima pesakit baru.

“Maknanya di Hospital Nur Zahirah, Hospital Hulu Terengganu, Hospital Kemaman dan Hospital Besut tidak lagi dapat menerima pesakit baru untuk hemodailisis.

“Tetapi saya percaya kerajaan negeri sentiasa mencari jalan untuk mengadakan lebih banyak lagi pusat hemodalisis di negeri ini dan kerajaan negeri memang banyak membantu kita,” katanya ketika berucap pada satu majlis di Hospital Setiu, baru-baru ini.