Halaman

23 April 2014

Kadar biasiswa sekolah agama negeri dinaikkan

Oleh: Aida Abd Rahman

Kerajaan negeri bakal menaikkan kadar biasiswa kepada pelajar sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) seluruh Terengganu, mulai bulan depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri haji Ahmad Said berkata, tambahan kadar biasiswa kepada pelajar Tingkatan Satu hingga Lima SMKA sebanyak RM20 menjadikan jumlah RM70 sebulan berbanding RM50 sebulan sebelum ini.


“Sementara pelajar Tingkatan Enam Bawah dan Atas (SMKA) juga bertambah daripada RM70 kepada RM90 sebulan,” katanya di sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Epic Berhad Dan Felcra Berhad di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Epic Berhad, Dato’ Mazlan Ngah; Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Epic Berhad, Encik Ramli Shahul Hamed.

Untuk rekod, SMKA di negeri ini adalah SMKA Durian Guling, Marang; SMKA Nurul Ittifaq dan SMKA Wataniah, Besut; SMKA Sheikh Abdul Malek serta SMKA Dato' Haji Abas (SMKA Tok Jiring), Kuala Terengganu.

Sementara itu, Dato' Seri Haji Ahmad berkata, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mewartakan kawasan berkeluasan lebih 100,000 hektar di Rantau Abang, Dungun yang mempunyai pokok gelam sebagai kawasan Hutan Simpan Kekal di Terengganu.

“Kawasan di sepanjang Rantau Abang yang mengandungi pokok gelam, kita gazetkan sebagai hutan simpan kerana kita dimaklumkan bahawa dahulu kita diberi sebahagian, tetapi sekarang kita mahu sepenuhnya kerana ini merupakan satu lagi keunikan yang terdapat di Terengganu.

 “Sekarang ini untuk mendapatkan kawasan hutan gelam yang sangat cantik dan menarik amat sukar sebab itu kita simpan untuk masa depan,” katanya.

Menurut Menteri Besar, keputusan mewartakan kawasan hutan simpan untuk masa depan itu bertujuan sebagai kawasan tadahan air, rekreasi, pendidikan serta sebagainya.



No comments: