Halaman

15 April 2014

Sidang DUN: Kerajaan tidak zalim, sedia bayar pampasan- Ahmad Said.

Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said berjiwa besar sedia berbincang dengan sesiapa sahaja walaupun dengan Presiden Pas.


Dato' Seri Haji Ahmad Said.
Oleh: Aminudin Ismail
Gambar oleh Zulkipli Putra

MENTERI Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said memberi jaminan pampasan kepada pemilik tanah terlibat dengan pelebaran jalan Dungun ke Kuala Terengganu di Kampung Pasir Putih, Dungun walaupun tanah yang mereka duduki itu adalah tanah kerajaan.

Ahmad Said berkata, kerajaan sedia untuk memberi pampasan kepada penduduk terbabit dengan kadar bayaran yang sesuai dan bukannya sebagaimana jumlah yang dituntut oleh penduduk yang dianggap tidak munasabah.

Katanya, pengambilan tanah yang dijalankan pada 1964, semua keluarga sudah menerima pampasan kepada pengambilan tersebut mengikut nilai semasa pada tahun itu.

“Geran baru telah didaftarkan 15 Januari 2007 tetapi sebahagian penduduk masih belum mengambil geran baru dan sebahagian telahpun dipindah milik kepada pemilik baru, maknanya berlaku urusniaga jual beli.

"Siasatan jabatan mendapati, pemilik baru tidak maklumkan pengambilan tanah daripada milik asal. Pihak pejabat tanah mengeluarkan 64 notis bagi meroboh mana-mana bangunan dan gerai-gerai yang terdapat dalam rezab jalan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan tidak bertindak zalim walaupun sudah berpuluh tahun tanah itu diduduki tetapi kerajaan tidak pernah mengenakan sebarang bayaran.

“Kita tidak mengambil satu senpun, bermakna kerajaan tidak zalim kerana itu adalah tanah kerajaan mereka mendapat wang hasil pendapatan mereka atas tanah kerajaan tetapi jika kerajaan mahu mengunakannya sampai masa kena serah balik.

“Kerajaan tidak bertindak zalim, ini hak kerajaan. Saya sebenarnya lembut sangat orangnya. Cuma minta jangan berkasar dengan saya. Adalah tidak adil bagi kerajaan, tanah kerajaan kita duduk, kita kena bayar sejuta lebih, kalau tiga empat ribu seorang boleh kita timbang,” katanya ketika mengulung perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Ahmad Said berkata, beliau agak kesal kerana atas sikap beberapa penduduk yang mahu membuat tuntuntan berlebihan daripada kerajaan negeri kerana mengambil tanah itu.

“Sebenarnya saya sudah sain (tandatangan) surat rayuan itu tetapi bila dah nak saman atau nak apa, kitapun rasa juga. Kita tiada masalah, tapi jangan lah sampai berjuta, 80 ribu, kita bukan buat salah, kita kena bayar pulak,

"Saya Insya Allah , kita dengan rela hati untuk mempertimbangkan dengan satu kadar yang akan ditentukan, tiada masalah,” katanya.

 

No comments: