Halaman

06 April 2014

KKM bina 39 menara telekomunikasi di Terengganu

 Oleh: Suriati Ali

 Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) akan membina 39 menara telekomunikasi baru di seluruhTerengganu membabitkan peruntukan RM58.5 juta sebagai usaha mempertingkatkan kadar menembuskan jalur lebar.

 Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Jailani Johari berkata melalui langkah itu, bacaan kadar sedia ada (57.3 peratus) di negeri ini, mampu dipertingkatkan sehingga kadar penembusan negara 67.1 peratus apabila siap dibina awal tahun depan.

 Katanya, pembinaan 39 projek itu adalah sebahagian 400 menara telekomunikasi bagi fasa pertama yang bakal dibina di seluruh negara.

“Pada masa sama, Kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM) juga bersetuju menyediakan 19 Pusat Internet 1Malaysia membabitkan kos RM20 juta di seluruh Terengganu.

 “Penambahan kemudahan itu secara tidak langsung mampu menambah kemudahann pusat internet (Pusat Bestari.Com) dan 206 Kampung Tanpa Wayar yang sedia ada di Terengganu.

“Apa yang dilaksanakan itu semata-mata mahu memudahkan orang ramai melayari internet tanpa had dan meneroka ilmu Teknologi Maklmat secara bijak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Majlis Perasmian Projek Perintis Terengganu Open Wifi, di Lapangan Terbang Sultan Mamud (LTSM), Kuala Terengganu, hari ini.

 Majlis itu dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said. Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri  Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Tranformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A.Latif Awang

. Ahmad berkata, janji kerajaan negeri dalam Pembentangan Bajet 2014, pada Disember tahun lalu, untuk menyediakan kemudahan Wifi secara percuma kepada rakyat Terengganu kini terlaksana.

 Katanya, kemudahan yang membabitkan kos kira-kira RM30 juta, kini boleh di akses di LTSM dan akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat di 600 lokasi seluruh Terengganu.

“Dalam tempoh terdekat, beberapa kawasan tumpuan pelancong, termasuk perpustakaan, stesen bas, pasar, jeti bot, taman awam dan taman reakreasi akan turut disediakan kumudahan itu,” katanya.

 Katanya, pihaknya sediakan kemudahan itu kerana menganggap sebagai satu keperluan bermakna bagi rakyat, terutama golongan muda.

 “Tidak ketinggalan, perkara itu cukup penting bagi pelancong dan pelabur untuk mengakses pelbagai maklumat penting ketika berada di negara ini khususnya Terengganu, selain dapat mengetahui lokasi menarik dengan mudah,” katanya.