Halaman

22 April 2014

MB, Exco perlu capai 41 KPI, 11 SKRA

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar dan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) perlu mencapai 41 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk memenuhi sebelas Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) menerusi Program Transformasi Terengganu (TTP), yang dilancarkan hari ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, semua KPI berkenaan menyokong matlamat SKRA dan akan dilaksanakan berdasarkan objektif , sasaran serta tempoh masa yang ditetapkan kerajaan negeri, sebagai jentera utama bagi mencapai status Negeri Maju 2020 .


 “SKRA ini berdasarkan apa yang pernah dilakukan Kerajaan Pusat menerusi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi Dan Pelaksanaan (Pemandu), Dato’ Seri Idris Jala.

"Terengganu menjadi negeri pertama yang melaksanakan usahasama dengan Pemandu, dalam mencapai KPI dan SKRA negeri,” katanya di sidang media sempena Majlis Ucaptama Halatuju dan Pelan Tindakan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Idris Jala; Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, YB Mohd Zubir Embong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mat Razali Kassim.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, YB A Latiff Awang dan semua Exco.

Sementara itu, Dato' Seri Haji Ahmad menjelaskan antara KPI yang perlu dicapai di bawah portfolio beliau seperti menyediakan 10,000 unit rumah untuk tempoh lima tahun akan datang.

 “Berdasarkan pengalaman lima tahun lalu, kita tidak ada masalah untuk mencapai jumlah itu, malah lebih dari 10,000 kita mampu laksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya Pemandu akan memantau, memperhalusi dan memimpin pelaksanaan TTP di bawah Unit Transformasi, Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (TRANSFORM) yang diketuai YB A Latiff supaya mampu mencapai objektif SKRA dan KPI berkenaan.

Menteri Besar berkata, peruntukan bagi menjayakan SKRA berkenaan bergantung kepada bajet tahunan dan semasa serta projek pembangunan tertentu.

“Sasaran kita mencapai SKRA bagi tempoh lima tahun atau setiap satu penggal. Tetapi kita teruskan sehingga 2020, kerana kita mahu menjadikan Terengganu sebagai Negeri Maju 2020, sebagaimana hasrat Kerajaan Pusat. Ini cabaran berat kepada Terengganu.

 “Kita tahu kita antara sebuah negeri yang terkebelakang dan kita perlu bergerak pantas untuk mencapai hasrat itu dan perlu menggandakan dari apa yang dibuat oleh Kerajaan Pusat,” katanya.

“Walaupun itu bukan merupakan janji kita, tetapi kita buat. Begitu juga janji kita untuk menjadikan bandar-bandar di Terengganu cantik dan menarik. Termasuk mewujudkan satu daerah baru Kuala Nerus. Sehingga kini, jawatankuasa sudah meluluskan, cuma menunggu keputusan kabinet,” katanya.


No comments: