Halaman

12 April 2014

Pandu Puteri Curah Bakti Hampir 100 Tahun

Oleh: Noraini Jusoh

Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mencecah 100 tahun penubuhannya telah banyak mencurah bakti kepada masyarakat dan menjadi nadi penggerak kepada golongan remaja dan wanita di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd Zubir Embong (gambar) berkata, sebagai NGO yang lama bertapak di Malaysia sejak tahun 1961 lagi, jelas menunjukkan PPPM begitu komited untuk melahirkan golongan remaja dan wanita dewasa yang berkaliber serta mampu menjadi seorang pemimpin berwibawa.

“Usia penubuhannya yang hampir seabad cukup menggambarkan betapa luas pengalaman persatuan ini.

“Saya dimaklumkan, PPPM banyak mencurah bakti kepada masyarakat termasuk menyediakan aktiviti dan program yang bercorak pendidikan bukan formal dengan asasnya meliputi perkembangan diri, sahsiah dan intelek, minat dan hobi, gaya hidup sihat dan khidmat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Terengganu Kali Ke-25 di Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Yang DiPertua PPPM Cawangan Terengganu, Tengku Datin Seri Ramlah Azizah Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Mohd Zubir dalam ucapannya turut memuji program-program dianjurkan persatuan itu yang dilihat mampu merakyatkan Pandu Puteri sekali gus memastikan PPPM terus relevan dan kewujudannya disedari dan dihargai oleh masyarakat.

Pada majis tersebut, seramai 300 ahli PPPM Cawangan Terengganu berhimpun bagi mendengar amanat yang Yang DiPertua PPPM dan membincangkan perkara berbangkit di Mesyuarat Agung yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sains Sultan Mahmud itu.