Halaman

29 April 2014

Peniaga pasar Chabang Tiga berpindah ke pasar baru

Oleh; Esah Abdullah

 Seramai 284 peniaga di Pasar Chabang Tiga Kuala Terengganu akan mula berpindah ke pasar yang baharu mulai 4 Mei ini.

 Pasar baharu yang jaraknya kira-kira 200 meter daripada pasar sedia ada itu dibina atas Sungai Hiliran dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang niaga yang lebih selesa dan tersusun.

Selain itu lebih 200 tempat letak kereta juga disediakan untuk kemudahan pengunjung yang sebelum ini menghadapi masalah apabila berkunjung ke pasar tersebut.

Pengarah Jabatan Perkhidmaatan Perbandaran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Encik Ghani Idris berkata, sebanyak 298 lot ruang niaga disediakan di kawasan seluas 4,800 meter persegi itu.

"Projek yang mula dibina pada Jun 2010 itu melibatkan perbelanjaan kira-kira RM15 juta dalam usaha memberi keselesaan kepada peniaga dan pengguna," katanya dalam sidang media di pejabat MBKT Kuala Terengganu petang semalam.

Menurut beliau, walaupun peniaga berpindah ke tapak pasar baharu, pihak MBKT masih mengekalkan kadar sewaaan yang rendah antara RM30 hingga RM60 sebulan kecuali petak sayur pemborong RM5 sehari.

Malah katanya, konsep pembinaan dan penyusunan ruang niaga juga dipersetujui hasil perbincangan dengan persatuan peniaga di pasar berkenaan.

Beliau berkata, projek pembinaan pasar baharu itu merupakan sebahagian daripada pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan melibatkan keseluruhan kawasan 14,600 meter persegi.

``Selain pasar baharu di kawasan tersebut turut dibangunkan unit-unit rumah kedai oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri dengan sebuah syarikat,'' katanya.