Halaman

15 April 2014

Sidang DUN: Insentif perkahwinan keluarkan ibu tunggal dari garis kemiskinan

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar oleh Zulkipli Putra

Inisiatif kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Terenganu (YPKT) mewujudkan program insentif perkahwinan dengan peruntukan RM1.6 juta yang disertai 810 peserta di kalangan ibu dan bapa tunggal berjaya mengeluarkan sebahagian besar golongan itu dari garis kemiskinan.

YB Muhammad Pehimi berkata kerajaan sedang berusaha mengeluarkan sebahagian besar golongan ibu dan bapa tunggal dari garis kemiskinan.

Pelbagai kursus dan taklimat diadakan bagi mengubah kehidupan ibu dan bapa tunggal ke tahap yang lebih baik.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, YB Muhammad Pehimi Yusof, berkata program itu secara tidak langsung menggalakkan golongan ibu tunggal untuk berkahwin semula dan mengubah kehidupan ke tahap lebih baik.

“Kerajaan juga menyediakan caruman insurans secara berkelompok untuk membantu ibu dan bapa tunggal yang melibatkan 20, 858 peserta dan Pinjaman Jaya Diri bagi menggalakkan golongan itu menceburi bidang perniagaan," katanyaketika menjawab soalan tambahan YB Bazlan Abd Rahman (Batu Rakit-BN), mengenai peratusan ibu tunggal yang dikategorikan miskin dan perancangan membantu golongan itu, di Sidang Dun, hari ini.  .

Antara program lain yang dilaksanakan khas kepada golongan ibu tunggal termasuk 16 siri program pembangunan modal insan merangkumi kemahiran keibubapaan, program motivasi kepada anak-anak ibu tunggal, pembentukan sahsiah dan bimbingan perundangan (kepada ibu tunggal sendiri).

Selain itu, kerajaan negeri juga membelanjakan sebanyak RM18,080 untuk mengadakan 20 program kursus kemahiran dan keusahawanan kepada ibu tunggal.

Untuk rekod, jumlah ibu tunggal yang berdaftar 22,900 orang melibatkan 79 orang (miskin tegar), 8,537 org (miskin) dan 4,018 orang mudah miskin.

Sehingga kini, Pehimi (Jertih-BN) berkata, sebanyak 32 kelab dan satu persatuan ibu tunggal diwujudkan di seluruh negeri yang mendapat bantuan kewangan dari kerajaan sebagai platform golongan berkenaan berinteraksi, berbincang, bertukar pandangan sesama mereka serta mengadakan aktiviti berfaedah.

Sebelum itu, ketika menjelaskan soalan lisan yang dikemukakan YB Mohd Mahdi Musa (Kota Putera-BN) berhubung bilangan dan peratusan keluarga yang masih berada di bawah paras kemiskinan, Pehimi memberitahu berdasarkan statistik kemiskinan melalui sistem aplikasi e-Kasih sehingga 31 Mac lalu, 412 keluarga atau Ketua Isi keluarga(KIR) dikategorikan miskin tegar, 9,839 keluarga (miskin), 4596 keluarga (mudah miskin) dan 31,372 keluarga terkeluar dari golongan miskin.

“Perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah kemiskinan, paling utama adalah memastikan generasi-generasi baru agar mereka berjaya dalam pendidikan sebagaimana ajaran agama apabila mahu berjaya di dunia dan akhirat, mereka perlu berjaya dalam pendidikan.

 “Selain dari itu banyak program lain untuk jangka masa panjang yang dibuat oleh kerajaan bagi mengatasi masalah rakyat yang kurang bernasib baik, antaranya menjalankan program modal insan iaitu program peningkatan kapasiti dan kapabiliti kumpulan khusus yang dikenalpasti yang mana program ini terbuka kepada golongan isi rumah yang berpendapatan terendah (B40) dan tergolong dalam senarai e-Kasih di mana kita kenalpasti masalah mereka serta mencadangkan beberapa alternatif yang boleh mereka pilih bagi mengubah kehidupan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat untuk mewujudkan satu lagi tabung kemiskinan menerusi perkongsian antara agensi kerajaan seperti FELCRA, FELDA, Lembaga Tabung Amanah Warisan dan sebagainya yang akan membantu secara langsung kepada golongan miskin.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan yang besar pada setiap tahun mengikut Dun bagi program membina rumah baru dan membaiki rumah kepada golongan yang memerlukan di seluruh Terengganu.


No comments: