Halaman

21 April 2014

Terengganu mahu rampas juara Sukma

Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu optimis untuk merampas kembali kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) 2014 dengan sasaran 53 pingat emas di temasya Sukma Ke-17 Perlis, bermula 24 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, YB Rozi Mamat, berkata seramai 401 atlet sudah bersedia untuk bersaing dalam 24 jenis sukan yang melibatkan 312 acara di temasya 12 hari itu nanti.

“Kita memperkenalkan beberapa insentif baru bagi menyuntik semangat para atlet untuk bersaing di Sukma Perlis 2014 ini. Saya harap dengan suntikan dan kerjasama yang diberikan ini akan memberi impak yang besar khususnya kepada atlet Sukma Terengganu.

“Pada kali ini Terengganu mensasarkan untuk merampas semula kejuaraan dengan pungutan 53 emas yang mewakili kira-kira 13 peratus pingat emas, walaupun kita tahu bonus (pingat emas) lain, tetapi kita kekal dengan sasaran (53 emas) ,” katanya di Majlis Perjumpaan Bapa Angkat dan Jabatan Angkat sukma Ke-17 2014 Perlis Bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan negeri Terengganu, Haji Zainal Abidin Hussin, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri serta ketua jabatan negeri. Majlis itu turut memperkenalkan Ketua Kontinjen (Chief De Mission) Sukma Terengganu 2014, YB Mohd Mahdi Musa yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri.

Sementara itu, YB Rozi berkata, pihaknya yakin terhadap kemampuan dan prestasi atlet yang kini dihantar secara berperingkat-peringkat bagi menjalani latihan dan menyesuaikan diri di semua venue di Perlis, sebelum temasya bermula.

“Hari ini kita juga memperkenalkan Ketua Kontinjen (Chef de Mission) Sukma Terengganu 2014 yang diputuskan kerajaan negeri, YB Mohd Mahdi Musa untuk memikul tanggungjawab yang besar pada tahun ini.

“Kita juga memperkenalkan bapa angkat di kalangan YB supaya membantu sama atlet Sukma nanti. Selain itu buat julung kali, jabatan dan agensi kerajaan juga bekerjasama dan membantu menyuntik semangat atlet,” katanya.

Pada temasya kali ini, Terengganu menghantar 544 peserta dari kalangan 401 atlet dan 107 pengurus pasukan, pengurus sukan, jurulatih, mekanik serta 26 pegawai yang akan bersaing dalam 24 jenis sukan yang melibatkan 312 acara (80.21 peratus) keseluruhannya.

Terengganu menjadi kontinjen ketiga terbesar selepas Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Untuk rekod, kali pertama Terengganu muncul juara Sukma ketika menjadi tuan rumah temasya itu pada 2008 dengan meraih 61 pingat emas, 39 perak dan 47 gangsa. Dua tahun kemudian, kontinjen Terengganu sekali lagi ditabalkan juara di Sukma Melaka ( 47 pingat emas, 30 perak dan 43 gangsa), sebelum mencipta hatrik pada 2011 di Kuala Lumpur dengan pungutan 23 pingat emas, lima perak dan 10 gangsa.

Terengganu terus mendominasi kejuaraan pada Sukma Pahang 2012 (62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa). Bagaimanapun Selangor yang memperolehi 23 pingat emas, 17 perak dan 30 gangsa memintas Terengganu (19 emas, 13 perak dan 13 gangsa) untuk merampas kejuaraan pada Sukma Ke-16 Kuala Lumpur, tahun lalu.