Halaman

22 April 2014

Terengganu Tarik Pelaburan Asing RM16.3 Bilion

Oleh: Suriati Ali

Terengganu berjaya menarik pelaburan asing berjumlah RM16.3 bilion sejak 2007 sehingga suku pertama tahun ini, kata Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said.

 Melalui pelaburan itu katanya, lebih 20,000 peluang kerja diwujudkan dalam pelbagai sektor termasuk perindustrian, pembuatan, pelancongan, minyak dan gas.

 Beliau berkata, pelaburan itu termasuklah syarikat CJ dan Arkema yang bakal beroperasi di Taman Polimer Kertih pada pertengahan tahun ini dengan jumlah pelaburan RM2.24 billion sekali gus telah meletakkan Terengganu sebagai destinasi pelaburan menarik bagi industri bioteknologi.

Katanya, langkah itu mampu menyediakan pelbagai peluang komersial kepada syarikat-syarikat bioteknologi terutama penggiat bioteknologi global ke negeri ini dalam tempoh terdekat.

 “Dengan faktor ini, beberapa syarikat asing dari Amerika Syarikat, iaitu Gevo Inc. telah memberikan komitmen pelaburan sebanyak RM1.65 billion untuk membangunkan loji pembuatan isobutanol dari biojisim selulosa.

Tidak terkecuali, syarikat Virdia juga turut menyatakan minat untuk melabur di Terengganu. “Sektor industri besi keluli juga dilihat sebagai pemangkin ke arah ekonomi negeri berpendapatan tinggi. Aktiviti pelaburan yang berskala besar ini turut menjadi agenda penting dalam pembangunan peningkatan taraf kehidupan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ucaptama Negeri dan Pelancaran Bidang Keberhasilan Utama Negeri (SKRA) di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan Pemandu, Dato’ Seri Idris Jala dan Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri, Mohd Zubir Embong.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, A. Latiff bin Awang Ahmad turut memberitahu, dijangka memulakan operasi pada suku ke -3 tahun ini, syarikat Easten Steel Sdn. Bhd., kilang besi keluli yang terbesar di Malaysia ini turut dapat dimanfaatkan oleh Terengganu.

 “Dengan nilai pelaburan pemulaan sebanyak RM2 billion, ianya meningkat kepada hampir RM4 billion pada ketika ini menunjukkan betapa pentingnya industri besi keluli ini kepada masyarakat.

“HKS Mineral Sdn. Bhd. juga telah diluluskan bagi membangunkan kilang besi keluli di Kawasan Perindustrian Teluk Kalong. Jumlah pelaburan yang bakal dilaburkan berjumlah RM 6.6 billion di kawasan seluas 1,000 ekar dan menawarkan sebanyak 1,300 peluang pekerjaan,” katanya.

Menurutnya, tumpuan juga diberikan kepada pembangunan lembah silika. Sumber pasir silika yang dianggarkan lebih 50 juta tan metrik akan dibangunkan oleh Terengganu Silica Consortium Sdn. Bhd. dan dapat memberi 600 peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini khususnya.

“Pelaburan bernilai RM350 juta ini dijalankan di Kawasan Perindustrian Saujana, Setiu. “Dengan adanya industri silika ini, produk-produk seperti kraftangan turut dapat dihasilkan oleh rakyat yang cenderung kepada penghasilan kraftangan untuk pasaran tempatan dan luar negara,” katanya.

 

No comments: