Halaman

12 April 2014

Terengganu Tubuh Pasukan NBOS,

Oleh: Suriati Ali
Gambar oleh Zulkipli Putra

Terengganu akan menubuhkan pasukan rondaan National Blue Ocean Strategy (NBOS) sebagai langkah memperkasakan keselamatan dan mencegahkan jenayah di lokasi `panas’ di negeri ini.
Kolonel (K) Dato' Haji Mazlan Ngah melihat senjata canggih ATM di gerai pameran.
Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Mazlan Ngah, berkata pasukan rondaan NBOS yang masih dalam permohonan dan bakal dilancarkan dalam tempoh terdekat itu membabitkan dua pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 Katanya, pasukan itu berperanan cukup penting untuk bersama-sama meningkatkan rondaan, mengawal jenayah dan memantau beberapa kawasan `panas’.






“Saya percaya kerjasama padu yang terjalin hasil persefahaman dan komitmen jitu bakal menyumbang kepada penurunan kadar jenayah yang ketara.

 “Kita memerlukan kerjasama seumpama ini bagi memantau keselamatan orang ramai, termasuk pelancong yang berada di negeri ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka ATM/PDRM di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, hari ini. Hadir sama, Panglima 8 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah dan Timbalan Ketua Polis Negeri, SAC Dato’ Hamzah Md Jamil.

Datuk Mohamad Zaki berkata, penubuhan pasukan NBOS dapat memberitahu masyarakat setempat bahawa PDRM dan ATM mempunyai fungsi sama dalam mengurangkan kadar jenayah dan memantau keselamatan awam.

“Kita serah kepada PDRM untuk menentukan lokasi mana yang dirasakan perlu untuk tingkatkan rondaan, beberapa ramai anggota ATM yang PDRM ingini, kita akan hantar bagi tujuan itu,” katanya.

 Dato’ Hamzah berkata, negeri lain seperti Kelantan, sudah lama menubuhkan pasukan NBOS kerana indek jenayah di negeri itu dikatakan agak Tinggi. Katanya, bagi Terengganu pula, penubuhannya agak lambat kerana kadar jenayah masih terkawal dan tidak seperti di negeri lain.

 “Apabila dilakasanakan kelak, anggota terbabit akan bertugas mengikut tempoh tertentu.

 “Pihak kami sudah mengenalpasti beberapa lokasi `panas’, di samping mempertingkatkan kekerapan rondaan di kawasan tumpuan ramai, termasuk Taman Awam Batu Burok dan Pasar Besar Kedai Payang,” katanya..