Halaman

23 April 2014

YPKT Perkenal Program Renang

Oleh: Suriati Ali

Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) bakal memperkenalkan program renang melibatkan kanak-kanak Taska Permata Keluarga (TPK) dalam tempoh terdekat sebagai usaha memperkuatkan minda dan ketahan fikizal.

 Pengarah YPKT, Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata, program tersebut mendapat kerjasama daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dalam menyediakan program latihan asas kepada guru-guru taska yang terlibat.

 Katanya, kursus Latihan Kejurulatihan Asas Renang (TOT) selama empat hari itu telah bermula pada 6 hingga 9 April yang lalu, melibatkan seramai 20 orang guru pembimbing TPK di negeri ini.

“Kursus itu memberi pendedahan mengenai teknik asas renang yang betul kepada guru-guru, sebelum mereka dapat membantu dan membimbing kanak-kanak agar mampu berenang dengan betul dan selamat.

 “Perlaksanaan program renang itu, sebagai satu persediaan dan kemahiran diri kanak-kanak ia juga bersesuaian dengan cabaran hari ini di mana kemudahan permainan air disediakan di serata tempat termasuk di pusat rekreasi dan peranginan,” katanya.

 Beliau berkata, kursus TOT sebelum ini telah di laksanakan di pusat Akuatik Majlis Perbandaran Kuala Terengganu dengan melibatkan seramai empat orang jurulatih dari MSN.

 “Kursus selama empat hari itu juga telah dilengkapkan dengan latihan praktikal di mana pelatih turut melakukan ‘microteaching’ kepada 20 orang kanak-kanak taska dari Taska Permata Keluarga, Batu Buruk,” katanya.

 

No comments: